Kopi Waktu tonjol identiti Kedah, promosi sektor pelancongan - Raja Muda Kedah

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin berkenan berangkat melakukan lawatan di Kopi Waktu, Kampung Ulu Sedaka, di Yan pada Ahad. - Foto Astro AWANI
YAN: Gabungan konsep santai antara komuniti dengan suasana kampung selain suntikan elemen alam semulajadi dapat menonjolkan identiti berbeza Kopi Waktu itu sendiri dalam kalangan pengunjung.
Ringkasan AI
- Konsep santai dan alam semulajadi di Kopi Waktu, Kampung Ulu Sedaka, Yan menonjolkan identiti unik tempat tersebut.
- Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin menyokong inisiatif tersebut sebagai daya penarik pelancong untuk menghargai keindahan alam Kedah.
- Lawatan baginda ke Kopi Waktu menunjukkan hubungan mesra antara Keluarga Diraja Kedah dengan rakyat serta pentingnya sokongan komuniti untuk menjayakan projek tersebut.

Sepanjang lawatan, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan berkenan meluangkan masa beramah mesra bersama pengunjung dan pengusaha selama lebih satu jam. - Foto Astro AWANI
"Kopi Waktu ini adalah satu inisiatif yang baik sebab buat di suasana kampung, pemandangan yang cantik, kita boleh nampak Gunung Jerai, sawah padi dan makanan yang disediakan pun (adalah) makanan dan minuman tradisional.
"Jadi bila orang datang sini dalam keadaan santai, relaks dan konsepnya pun berlainan, bukan konsep komersial, (tetapi) konsep berinfak, jadi siapa yang (berkunjung) beri sumbangan untuk menjayakan Kopi Waktu di sini.
"Saya (juga) syorkan siapa yang nak datang, datang tengok, nikmatilah keindahan alam semulajadi di negeri Kedah," titah baginda ketika ditemui media selepas berkenan berangkat melakukan lawatan di Kopi Waktu, Kampung Ulu Sedaka, di sini pada Ahad.
Turut berangkat sama, Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff dan anakanda,Tunku Sulaiman Badlishah Tengku Sarafudin Badlishah.

Selain Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin, turut berangkat sama, Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff dan anakanda,Tunku Sulaiman Badlishah Tengku Sarafudin Badlishah. - Foto Astro AWANI
Sepanjang lawatan, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan berkenan meluangkan masa beramah mesra bersama pengunjung dan pengusaha selama lebih satu jam.
Ia sekali gus menonjolkan keakraban hubungan antara Keluarga Diraja Kedah dengan masyarakat di peringkat akar umbi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


