MALAYSIA
Korea Kembali: Budaya pacu hubungan dua hala dengan Malaysia - Duta Yeo

Yeo berkata festival itu telah melebihi jangkaan, menarik lebih 35,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan umur dan latar belakang. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Korea Selatan melihat Malaysia sebagai rakan utama dalam memperluas pengaruh kuasa lembutnya, dengan budaya dikenal pasti sebagai tonggak strategik untuk memperkukuh hubungan dua hala, kata Duta Besar Korea Selatan ke Malaysia Yeo Seung Bae.
Kedutaan Korea Selatan baru sahaja menamatkan penganjuran Festival Budaya Korea (K-Culture Festival) selama 12 hari, bermula 11 hingga 22 Jun, dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta beberapa agensi kerajaan Korea yang lain.
Yeo berkata festival itu telah melebihi jangkaan, menarik lebih 35,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan umur dan latar belakang, sekali gus mencerminkan kejayaan Korea Selatan mempromosikan daya tarikannya kepada rakyat Malaysia.
"Festival ini menampilkan pelbagai acara merangkumi makanan, pelancongan, kecantikan dan muzik, yang berlangsung secara berterusan selama 12 hari," katanya sambil memaklumkan bahawa ia turut dianjurkan bersempena ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik Korea Selatan-Malaysia."Acara ini juga bertepatan dengan pembentukan kerajaan baharu kami awal bulan ini, jadi menerusi festival ini, kedutaan ingin menyampaikan mesej bahawa Korea telah kembali," katanya dalam wawancara eksklusif bersama Bernama di Kedutaan Korea Selatan baru-baru ini.
Antara acara utama festival itu termasuk persembahan memasak oleh cef Korea bintang Michelin yang memperkenalkan daging lembu premium Korea yang diperakui halal kepada masyarakat Malaysia.
Acara penting lain termasuk Jelajah Pelancongan Korea yang mempromosikan destinasi popular dalam kalangan pelancong Malaysia, serta segmen K-Beauty yang dikendalikan jurusolek profesional dari Korea, membolehkan peserta mencuba dan mempelajari tentang kosmetik Korea.
"Acara paling popular ialah Festival Muzik Korea-ASEAN yang menghimpunkan artis dari Korea dan kesemua 10 negara anggota ASEAN. Kira-kira 4,000 orang, kebanyakannya golongan muda Malaysia, hadir dan ia benar-benar satu pemandangan yang mengagumkan," katanya.
Festival Budaya Korea 2025 yang bertemakan "Feel the Vibes, Savor the Flavours, and Explore with Style", itu bertujuan memperkenalkan Gelombang Korea (Hallyu) serta memperkukuh hubungan budaya yang semakin sebati dalam kehidupan harian rakyat Malaysia.
Memandang ke hadapan, Yeo mendedahkan bahawa kerajaan Korea Selatan merancang untuk membuka Pusat Budaya Korea di Malaysia pada awal tahun depan, bagi menjadikan acara seperti Festival Budaya Korea satu penganjuran tetap yang mudah diakses oleh orang ramai.
"Matlamat kami adalah untuk memastikan festival ini bukan acara sekali sahaja. Menerusi pusat budaya ini, kami berharap dapat menjadikan budaya Korea lebih mudah diakses, sama ada bagi mereka yang mampu ke Korea mahupun tidak. Kami mahu semua orang di Malaysia berpeluang merasai Korea, di sini di Kuala Lumpur," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami