Malaysia perlu meningkatkan pelaburan dalam pengukuhan sistem kesihatan sebagai penyelesaian jangka panjang negara susulan penularan wabak koronavirus (COVID-19).

Menurut Felo Kanan, Sistem dan Polisi Kesihatan, Universiti Malaya (UM), Dr Khor Swee Kheng, tumpuan perlu diberikan kepada usaha mencapai Liputan Kesihatan Sejagat (UHC) terutama melibatkan Penjagaan Kesihatan Primer.

"Apabila negara meningkatkan pelaburan ke dalam UHC, terutamanya Penjagaan Kesihatan Primer (berdasarkan penjagaan hospital pakar), langkah itu mampu meningkatkan populasi kesihatan, menjadikan mereka lebih bersedia untuk menghadapi wabak di masa depan.

"Jadi, fizikal mereka lebih berdaya tahan, mengawal diabetes melalui diet, lebih ramai mengamalkan senaman, dan berusaha mendapatkan nutrisi yang baik. Mereka akan lebih bersedia untuk menghadapi wabak jika berlaku seterusnya," katanya pada forum “Sains, Politik dan Geopolitik dari Koronavirus” di
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, di sini pada Isnin.

Ketika ini, jelasnya, Malaysia dilihat sedaya-upaya cuba melakukan yang terbaik dalam menangani penularan COVID-19.

"Bagaimanapun, negara juga perlu mengekalkan aspek kemampanannya terutama dalam menyediakan peruntukan kepada usaha mengatasi penularan wabak virus berkenaan," katanya lagi.

Justeru beliau berkata, sistem kesihatan dan kelesuan manusia yang dapat dilihat pada ketika ini perlu diuruskan dengan lebih baik.

"Pada masa sama, negara perlu menguruskan risiko komunikasi, media sosial dan persepsi sosial . Tumpuan juga perlu diberikan kepada suatu usaha memberikan tindak balas yang saksama, dan bukan sekadar efektif dan efisyen," katanya lagi.

Bagi rantau ASEAN pula, Dr Swee Kheng berkata, usaha yang boleh dilakukan buat masa ini dalam menghadapi COVID-19 ialah pertubuhan itu perlu meningkatkan medium saluran perkongsian maklumat antara negara, selain hubungan bilateral dan multilateral.

ASEAN juga, ujarnya, perlu menyatakan sokongan kepada China terutama dalam perkongsian sumber.

"Ia termasuk bentuk bantuan topeng dan sarung tangan dalam menghadapi COVID-19," tambah Dr Sweek Kheng lagi.

Bagi peringkat global pula, beliau menggariskan, pendekatan sekarang yang boleh dilakukan ialah pemimpin politik perlu menghentikan sikap opportunis, rasis, dan diskriminasi dalam memberi reaksi kepada isu penularan wabak COVID-19.

"Selain itu, negara global perlu bersama-sama mengetengahkan bantuan mereka dari segi saintis dan pakar kesihatan awam dalam menangani COVID-19," katanya.

Malah, semua kumpulan doktor, sosiologis, saintis data, pakar psikologi dan pakar matematik perlu memberikan respon segera mereka kepada penyelesaian usaha menangani penularan wabak.

Pada masa sama, tidak terkecuali, penglibatan sektor swasta yang perlu ditingkatkan terutama dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembuatan dan pengagihan rangkaian hubungan.