Koronavirus: Pasukan peninjau Malaysia ke Wuhan gerakkan bilik operasi

Hasimi Muhamad
Februari 2, 2020 09:07 MYT
Maklumat-maklumat logistik akan terus dikemaskini bagi melancarkan operasi membawa pulang 141 rakyat Malaysia di Wuhan dan bukan warganegara. - Gambar Kedutaan Malaysia ke Beijing
Pasukan peninjau Kedutaan Besar Malaysia ke China mula menggerakkan bilik operasi sekretariat di bandar Wuhan sebaik tiba di bandar itu pada pukul 3.50 pagi Ahad, waktu tempatan.
Menurut Duta Besar Malaysia ke China, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin, maklumat-maklumat logistik akan terus dikemaskini bagi melancarkan operasi membawa pulang 141 rakyat Malaysia di Wuhan dan bukan warganegara.
Daripada jumlah tersebut, 117 merupakan rakyat Malaysia sementara 24 adalah bukan warganegara yang terdiri daripada pasangan serta anak-anak.
Katanya, perbincangan lanjut bersama kerajaan China dan kerajaan tempatan Wilayah Hubei akan dijalankan bagi memastikan kelancaran proses tersebut.
"Setakat ini, rakyat Malaysia di Wuhan telah memberi maklum balas dan kerjasama yang baik," katanya dalam kenyataan tersebut, pada Ahad.
Jelasnya, kerajaan China turut memberikan sokongan kepada pasukan peninjau bagi menggerakkan rakyat Malaysia di Wuhan.
[LAPOR LANGSUNG] Koronavirus ragut lebih 300 nyawa
#kerajaan #koronavirus #rakyat Malaysia #wabak coronavirus