[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Kos bahan binaan naik sedikit pada Ogos, seiring harga simen, pasir - Perangkaan

Bernama 11/09/2025 | 07:30 MYT
Peningkatan tertinggi indeks harga bahan ini dicatatkan di Pahang (1.1 peratus), diikuti dengan Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (1.0 peratus) dan Miri (0.6 peratus). - Gambar hiasan/ Bernama
KUALA LUMPUR: Indeks harga seunit simen naik antara 0.1 peratus dan 1.1 peratus pada Ogos 2025 berbanding bulan bulan lepas, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).


Ringkasan AI
  • Indeks harga seunit simen meningkat antara 0.1 hingga 1.1 peratus pada Ogos 2025, dengan kenaikan tertinggi dicatatkan di Pahang, manakala indeks harga pasir turut meningkat di beberapa negeri termasuk Perak.
  • Indeks harga seunit besi (rebar) kekal stabil kecuali penurunan di Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Sibu; secara tahunan, harga besi menurun sehingga -12.9 peratus, terutama di Perak.
  • Indeks Kos Bahan Binaan (IKB) menunjukkan peningkatan kecil di Semenanjung, Sabah dan Sarawak; pasaran besi tetulang kekal berdaya tahan disokong oleh kos pengeluaran tinggi dan bekalan yang ketat.


Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan tertinggi indeks harga bahan ini dicatatkan di Pahang (1.1 peratus), diikuti dengan Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (1.0 peratus) dan Miri (0.6 peratus).

Beliau berkata indeks harga pasir meningkat pada Ogos 2025, dengan perubahan bulan ke bulan antara 0.1 peratus hingga 0.5 peratus

"Peningkatan tertinggi bagi indeks seunit bahan ini telah direkodkan di Perak (0.5 peratus)," kata Mohd Uzir dalam satu kenyataan berhubung laporan Siaran Khas Untuk Kerja-kerja Pembinaan Bangunan dan Struktur, Ogos 2025 hari ini.

Sementara itu, beliau berkata indeks harga seunit besi (rebar) pula kekal tidak berubah bagi semua kawasan kecuali penurunan dalam indeks di Terengganu dan Kelantan (-1.0 peratus), diikutidengan Pulau Pinang, Kedah dan Perlis dan Sibu, masing-masing (-0.3 peratus).

Perbandingan tahunan untuk tempoh Ogos 2024 dan Ogos 2025 menunjukkan indeks harga seunit besi merekodkan penurunan antara negatif 4.6 peratus hingga negatif 12.9 peratus bagi kebanyakan kawasan di Malaysia.

Penurunan tertinggi bagi indeks harga seunit bahan ini telah dicatatkan di Perak (-12.9 peratus).

Bagaimanapun, perbandingan tahun ke tahun bagi indeks harga seunit simen mencatatkan peningkatan antara 0.3 peratus hingga 3.9 peratus pada Ogos 2025.

Beliau turut memaklumkan purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bars merekodkan peningkatan kecil (0.1 peratus) dengan purata harga RM3,491.35 bagi setiap tan metrik berbanding bulan sebelumnya (Julai 2025: RM3,488.65 per tanmetrik).

Sementara itu, purata harga bagi simen Ordinary Portland juga telah mencatatkan peningkatan kecil (0.1 peratus) dengan purata harga RM23.85 per 50 kg sekarung berbanding Julai 2025 (RM23.80 per 50 kg sekarung).

Perbandingan bulanan Indeks Kos Bahan Binaan (IKB) termasuk bar keluli mengikut kategori bangunan dan kawasan di Semenanjung Malaysia mencatatkan peningkatan antara 0.1 peratus hingga 0.6 peratus pada Ogos 2025 berbanding bulan sebelumnya.

Peningkatan ini dicatatkan bagi semua kategori bangunan kecuali di kawasan Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan.

Sementara itu, IKB termasuk bar keluli di Sabah juga menunjukkan peningkatan kecil iaitu antara 0.1 peratus dan 0.4 peratus bagi semua kategori bangunan dan kawasan pada Ogos 2025 berbanding bulan sebelumnya.

Pada tempoh yang sama, IKB termasuk bar keluli di Sarawak merekodkan peningkatan kecil iaitu antara 0.1 peratus hingga 0.3 peratus bagi semua kategori bangunan.

Berdasarkan sudut pasaran komoditi, menurut laporan daripada Shanghai Metal Market bertarikh 30 Ogos, 2025, pasaran besi tetulang (rebar) di Malaysia kebelakangan ini masih berdaya tahan, dengan trend harga yang stabil dan mengukuh.

Pusingan sokongan harga kali ini terutamanya didorong oleh peningkatan ketara dalam kos pengeluaran yang digabungkan dengan struktur bekalan yang semakin ketat, sekali gus menaikkan paras pasaran secara keseluruhan, kata DOSM.

-- BERNAMA


#DoSM #Mohd Uzir Mahidin #harga bahan binaan #harga simen