KUALA LUMPUR: Kerajaan menganggarkan kos bagi membaiki kerosakan di 29 buah sekolah di Kuala Lumpur yang mengalami kerosakan akibat ribut pada Jumaat lepas akan mencecah RM3 juta.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, angka itu hanya anggaran awal dan mungkin akan berubah selepas pihaknya mendapat laporan kerosakan lebih terperinci daripada kontraktor yang dilantik.

Selain sekolah, kerajaan juga menganggarkan kos lebih RM1 juta  bagi membaiki kerosakan di bangunan milik Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar Negeri yang turut rosak akibat ribut pada minggu lepas.

Menurutnya, dalam ribut sama, lima kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) turut terjejas namun dibaiki sendiri menggunakan peruntukan JKR, tidak melibatkan penambahan kos.

"Untuk Kementerian Pertahanan, kita diberitahu ada lima unit kuarters terlibat, anggaran RM500,000 untuk kos kerja-kerja pembaikan.

"Bagi Kementerian Luar Negeri, ia melibatkan bangunan Kedutaan Palestin, ada pokok hempap bangunan itu. Kita sudah menerima laporan daripada pihak berkaitan.

"JKR sudah panggil kontraktor untuk laksanakan kerja pembersihan dan menjalankan kerja-kerja pembaikan elektrik. Anggaran kos lebih RM600,000," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan di Sekolah Kebangsaan Setapak di sini pada Isnin yang turut dihadiri Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Sekolah Kebangsaan Setapak merupakan antara sekolah yang terjejas akibat ribut melanda beberapa lokasi di Lembah Klang pada Jumaat lepas.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan sebanyak 36 sekolah terjejas akibat ribut yang melanda ibu kota dan sekitar Selangor.

Menurut KPM, kerosakan membabitkan 27 sekolah di Kuala Lumpur dan sembilan sekolah di Selangor.

Dalam pada itu, ketika ditanya bilakah kerja pembaikan di sekolah akan bermula, Nanta berkata sebaiknya ia dimulakan secepat mungkin.

"Kerja pembaikan sekolah sepatutnya dibuat secepat mungkin.

"Terpulang kepada KPM, sama ada minta JKR laksanakam atau mereka juga boleh lantik kontraktor mereka sendiri," ujarnya.