SARA 2025: Semakan Kelayakan Dibuka – RM100 Dikredit Terus ke MyKad
MALAYSIA

Kos LRT Mutiara Line berjumlah RM16.8 bilion cerminkan keadaan pasaran semasa - MRT Corp

Bernama 21/08/2025 | 06:45 MYT
Projek perlu disemak untuk mencerminkan inflasi rantaian bekalan global, peningkatan nilai pasaran tanah dan kerja tambahan di kawasan Macallum serta Pulau Silikon.
KUALA LUMPUR: Siling keseluruhan peruntukan berjumlah RM16.8 bilion yang disemak semula untuk LRT Mutiara Line bukan peningkatan kos tidak terkawal tetapi mencerminkan keadaan pasaran sepanjang lapan tahun lepas, menurut Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp).


Ringkasan AI
  • Siling bajet LRT Mutiara Line disemak kepada RM16.8 bilion bagi mencerminkan inflasi global, peningkatan nilai tanah dan kerja tambahan di Macallum serta Pulau Silikon.
  • Kontrak utama bernilai RM8.31 bilion diberikan kepada SRS Consortium, namun dikurangkan kepada RM7.93 bilion selepas pelaksanaan pengurusan nilai.
  • Jajaran LRT Mutiara Line diperluas dari Pulau Silikon ke Komtar dan Penang Sentral, meliputi 29.5 km dengan 21 stesen.


Syarikat itu berkata berdasarkan data pasaran pada 2024, bajet (peruntukan) projek perlu disemak untuk mencerminkan inflasi rantaian bekalan global, peningkatan nilai pasaran tanah dan kerja tambahan di kawasan Macallum serta Pulau Silikon.

"Pada Disember 2024, Kerajaan Persekutuan meluluskan siling bajet projek sebanyak RM16.8 bilion dan MRT Corp telah diberi mandat untuk mengekalkan kos yang lebih rendah. Kos projek sebenar akan bergantung pada hasil pelaksanaan tender terbuka yang sedang berjalan dan akan datang," katanya dalam satu kenyataan.

Pada Januari 2025 pula, MRT Corp berkata kontrak bersyarat bernilai RM8.31 bilion telah diberikan kepada SRS Consortium Sdn Bhd untuk Pakej Kontrak Utama Awam 1.

Sebagai sebahagian daripada syarat kontrak, kontrak itu tertakluk kepada pelaksanaan pengurusan nilai pada April 2025 yang akhirnya mengurangkan jumlah kontrak kepada RM7.93 bilion, katanya.

"Siling bajet RM16.8 bilion juga termasuk kos pengambilan tanah yang kini dianggarkan RM2 bilion.

"Baki RM6.8 bilion adalah untuk Pakej Kontrak Utama Awam 2, Depoh Penstabilan Ringan di Sungai Nibong dan Sistem Kontrak Siap Guna, kesemuanya masih belum diberikan termasuk kos pengurusan projek dan perundingan," katanya.

Fasa pertama projek itu meliputi jarak 24 km dari Komtar di George Town ke Pulau A di bawah projek Pulau Pinang Pulau Selatan dengan 19 stesen dan kerja-kerja sokongan.

Mutiara Line akan menrangkumi jarak 29.5 km dengan 21 stesen dari Pulau Silikon ke Komtar dan ke Penang Sentral di Butterworth.

Menurut MRT Corp, anggaran kos asal bagi pelaksanaan Projek Bayan Lepas LRT Pulau Pinang ialah RM10 bilion pada 2016 berdasarkan jajaran dari Pulau Silikon ke Komtar.

Kerajaan Persekutuan pada awal 2024 membuat keputusan untuk mengambil alih projek itu, kini dikenali sebagai LRT Mutiara Line dengan jajaran lanjutan dari Macallum ke Penang Sentral.

Menerusi penambahbaikan itu, ia berkata kos projek meningkat sebanyak RM3 bilion kepada RM13 bilion, memanfaatkan kawasan tadahan yang lebih besar dan meningkatkan jangkauan perkhidmatan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata projek itu akan dibayar pendahuluan daripada bajet pembangunan untuk mengelak liabiliti.

Loke berkata dana untuk projek LRT kini akan diperuntukkan melalui bajet perbelanjaan pembangunan (DE) tahunan.

-- BERNAMA




#LRT Mutiara Line #MRT Corp #peruntukan disemak semula #kos tidak terkawal #pulau pinang