MALAYSIA

Kos mengerjakan ibadah haji dijangka meningkat tahun hadapan

Bernama 16/11/2021 | 23:45 MYT
Kos untuk mengerjakan ibadah haji dan umrah dijangka meningkat susulan perubahan prosedur SOP yang ketat. - Foto fail/AP
KUALA LUMPUR: Kos mengerjakan ibadah haji dijangka meningkat berikutan perkembangan terkini berkaitan prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan ketat yang dikuatkuasakan Kerajaan Arab Saudi, bagi membendung penularan COVID-19 dalam kalangan jemaah haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, pihak Lembaga Tabung Haji (TH) akan memaklumkan kos haji untuk musim 1443H/2022 apabila telah dimuktamadkan.

“Ia termasuk suntikan vaksin, keperluan ujian PCR (ujian tindak balas berantai polimerase) untuk masuk ke Arab Saudi serta penjarakan fizikal dan lain-lain langkah keselamatan semasa di Tanah Suci,” katanya dalam jawapan yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen.

Menurutnya, TH sedang menyemak dengan terperinci kos-kos yang terkesan akibat kadar inflasi serta peraturan dan cukai baharu di Arab Saudi termasuk caj visa haji yang diperkenalkan kerajaan itu pada musim haji 1441H/2020, selain kenaikan kadar cukai tambah nilai (VAT) di Arab Saudi daripada lima peratus kepada 15 peratus bermula Julai tahun lepas.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) mengenai kos baharu untuk mengerjakan ibadah haji dan umrah yang dijangka meningkat susulan perubahan prosedur SOP yang ketat dikuatkuasakan kerajaan Arab Saudi.

-- BERNAMA




#Arab Saudi #Haji #COVID-19 #Idris Ahmad