KUCHING:Kos anggaran bagi pembinaan satu kilometer jalan raya di Sarawak menelan belanja di antara RM4 juta sehingga RM12.5 juta.

Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Julaihi Narawi berkata, anggaran kos itu berbeza disebabkan faktor bentuk muka bumi negeri tersebut 

“Anggaran bagi pembinaan satu kilometer jalan berturap atau tar seal bagi kawasan berbukit-bukau dan di kawasan pergunungan adalah di antara RM6.3 juta hingga RM10.7 juta mengikut jenis standard jalan yang dibina.

“Manakala anggaran bagi pembinaan satu kilometer jalan raya berturap atau tar seal bagi kawasan tanah rata di antara RM4.17 juta hingga RM10.4 juta mengikut jenis standard jalan yang dibina

"Bagi pembinaan satu kilometer jalan raya berturap atau tar seal bagi tanah gambut pula berada pada anggaran RM5.7 juta hingga RM12.5 juta mengikut jenis standard jalan yang dibina.,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi pada Persidangan DUN Sarawak pada Khamis.

Sementara itu, Julaihi menambah, lebih 6,000 penempatan yang berselerak di seluruh Sarawak akan terus dihubungkan menerusi pembinaan jalan raya.

Katanya, pembinaan jalan raya baharu itu bakal membuka dan meneroka kawasan baharu di negeri itu.

“Apabila kita merancang pembinaan jalan raya di Sarawak, kita mengambil kira beberapa faktor antaranya kita ingin menghubungkan lebih 6,000 penempatan di negeri ini.

“Ia dijayakan menerusi Program Perhubungan Luar Bandar yang juga mencakupi pembangunan jalan raya di kawasan pesisir dan pembinaan jalan utama kedua,” tambah Julaihi.