Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mendapati kos sampingan dikenakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) antara faktor menyebabkan harga rumah di pasaran tinggi.

Timbalan Menterinya Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata pihak kementerian sedang menyiapkan kertas kerja dalam usaha untuk menangani masalah itu.

Antara faktor menyebabkan harga rumah meningkat adalah kos penyediaan tanah, caj pembangunan, premium tanah dan kos tambahan yang ditentukan oleh PBT, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Perancangan Kebangsaan bersempena sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2016, di sini pada Khamis.

Beliau berkata kementerian akan merujuk perkara itu kepada Majlis Perumahan Negara untuk dibincangkan dengan pihak kerajaan negeri dalam masa terdekat.

Katanya antara yang akan dibincangkan adalah usaha menyelaraskan kuota 30 peratus untuk pembinaan rumah kos rendah yang dikenakan terhadap pemaju perumahan di bawah Dasar Perumahan Negara.

"Selain menyerahkan kepada kerajaan pusat dan Bank Negara dalam menjalankan 'cooling measure' untuk perkara tersebut... selain mendapatkan bantuan daripada kerajaan negeri dalam mengurangkan harga rumah.

"Soal perumahan bukan hanya tertakluk pada kuasa peruntukan melalui akta yang ada pada KPKT sahaja, tapi ia juga bergantung pada peruntukan kuasa yang ada pada kerajaan negeri," katanya.

Menyentuh mengenai persidangan hari ini yang bertemakan 'Komuniti Sihat, Bandaraya Sihat bagi Pembangunan Lestari', Halimah berkata ia bukan hanya tertumpu kepada pembangunan fizikal malah turut membincangkan langkah-langkah pembangunan secara menyeluruh merangkumi aspek persekitaran dan kesihatan penduduk.

Sehingga kini, jumlah penduduk di bandar merangkumi 75 peratus atau 23.4 juta rakyat negara ini daripada kira-kira 30 juta penduduk, dan dijangka jumlah penduduk bandar akan meningkat kepada 35 juta pada 2040, katanya.

Persidangan itu disertai hampir 300 peserta terdiri daripada pihak PBT, pakar, pemaju perumahan dan pelajar universiti. - BERNAMA