Jabatan Imigresen tidak terlibat dalam penahanan tiga orang semasa penayangan tayangan filem kontroversi ‘No Fire Zone’ di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur semalam.

Perkara ini disahkan oleh Ketua Pengarah Imigresen Datuk Alias Ahmad.

“Kami membuat operasi itu bersama Bahagian Tapisan Filem Kementerian Dalam Negeri selepas menerima maklumat bahawa penyiaran itu mungkin ada penglibatan orang asing.

“Semasa operasi tersebut, kami dapati bahawa tiada peserta yang terlibat dengan kesalahan Imigresen. Jadi, Jabatan Imigresen tidak terlibat dalam penahanan tersebut,” katanya kepada Astro Awani.

Dalam kejadian pada pukul 8.30 malam itu, serbuan dibuat sejurus filem itu selesai ditayangkan.

Susulan itu, Arul Prakkash, Lena Hendry dan Anna Har dari Pusat Komas yang dipercayai penganjur tayangan itu, telah dibawa ke Balai Polis Dang Wangi untuk disoalsiasat.

Dipercayai pihak kedutaan Sri Lanka di Kuala Lumpur telah membuat satu aduan mengenai penayangan filem itu yang antara lain didakwa memaparkan kekejaman tentera Sri Lanka itu ke atas penduduk minoriti Tamil di utara negara itu.

Penonton dikatakan hanya perlu menunjukkan MyKad sebelum dibenarkan masuk ke dalam dewan yang berkapasiti 150 orang.