KPD Petaling Jaya jalani kuarantin selepas disahkan kontak rapat tahanan positif COVID-19

Fareez Azman
November 13, 2020 05:08 MYT
Kata Nik Ezanee, beliau kini menjalani kuarantin kendiri sehingga 23 November depan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR : Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, kini menjalani kuarantin kendiri di rumah selepas disahkan sebagai salah seorang kontak rapat dengan pesakit COVID-19 sewaktu bertugas.
Menerusi maklumat ringkas kepada media, Nik Ezanee memaklumkan beliau kini menjalani kuarantin kendiri sehingga 23 November depan.
Katanya, beliau disahkan kontak rapat kepada salah seorang tahanan selepas mengadakan lawatan di lokap.
"Ini adalah sebahagian daripada tugasan saya, dimana tujuh lokap ini adalah dibawah bidang kuasa saya. Jadi saya perlu selalu melawat tahanan di lokap ini.
"Selain memeriksa sentri, perintah reman dan beberapa perkara lagi berkaitan tahanan di lokap. Kita juga mengambil berat mengenai kesihatan tahanan, jadi berbual dengan mereka ini adalah perkara biasa," katanya.
Tambah Nik Ezanee, beliau telah menjalani saringan COVID-19 pada pagi Jumaat dan sedang menunggu keputusan.
Ini merupakan kali kedua Ketua Polis Daerah Petaling Jaya itu menjalani kuarantin rumah dalam tempoh dua bulan.
Kali terakhir, Nik Ezanee diarahkan menjalani kuarantin itu selama tiga hari selepas didapati kontak rapat salah seorang pesakit positif COVID-19.
Bagaimanapun, dia memulakan tugas selepas keputusan saringannya negatif.
#Ketua Polis Daerah Petaling Jaya #Petaling Jaya #PDRM #Kuarantin rumah #COVID-19 #kontak rapat #ujian saringan #Nik Ezanee