KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menyediakan Memorandum Jemaah Menteri berkaitan dasar penggubalan baharu e-dagang, yang akan dibentangkan pada mesyuarat minggu pertama Julai ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata usaha itu bagi mewujudkan ekosistem persaingan yang adil, meningkatkan akauntabiliti platform e-dagang, membendung lambakan produk tiruan, serta melindungi kelangsungan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan.
Ujar beliau, selepas mendapat pertimbangan Jemaah Menteri, kementerian itu akan meneruskan proses penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) baharu dengan mengambil kira pandangan semua kementerian serta semakan Jabatan Peguam Negara.
"Kajian semakan menyeluruh terhadap kerangka perundangan e-dagang telah dimulakan sejak April 2024 dan laporan akhirnya telah disiapkan serta boleh diakses di laman sesawang KPDN.
"Sebagai negara dagang, Malaysia mengamalkan pasaran terbuka dan ini merangkumi strategi dan pendekatan dalam memacu pertumbuhan ekonomi digital termasuklah sektor e-dagang.
"Walau bagaimanapun, kerajaan tidak akan sesekali membelakangkan kepentingan pemegang taruh tempatan.
"Di samping komited kepada keterbukaan pasaran, pertumbuhan ini mestilah berlandaskan prinsip keadilan dan tanggungjawab serta diseimbangkan dengan faktor kelangsungan pertumbuhan perniagaan tempatan dan perlindungan pengguna," katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat pada Khamis.
Armizan menjawab pertanyaan Young Syefura Othman (PH-Bentong) yang ingin tahu apakah rasional kerajaan masih membenarkan peniaga luar negara menjual terus kepada pengguna Malaysia melalui platform e-dagang tanpa kewajipan menubuhkan syarikat berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), sedangkan usahawan tempatan terikat dengan syarat perlesenan, percukaian serta kawal selia yang lebih ketat, sehingga mewujudkan ketidakseimbangkan akses pasaran.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Papar itu berkata pada masa ini, kerajaan belum mewajibkan semua penjual luar negara untuk menubuhkan syarikat atau entiti perniagaan berdaftar di Malaysia.
Armizan menjelaskan, hal ini kerana model e-dagang rentas sempadan melibatkan pelbagai bidang kuasa antarabangsa yang perlu diteliti dari sudut pelaksanaan, pematuhan, serta komitmen perdagangan antarabangsa.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pertumbuhan sektor itu perlu diseimbangkan dengan prinsip keadilan, tanggungjawab serta perlindungan pengguna, selain memastikan peniaga tempatan khususnya PMKS dapat bersaing secara saksama.
"Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sektor e-dagang menyumbang RM248.2 bilion atau 13.6 peratus kepada KDNK pada 2023.
"Sektor itu turut mencatatkan peningkatan pendapatan konsisten iaitu RM1.1 trilion pada 2021, RM1.13 trilion (2022), RM1.18 trilion (2023), RM1.23 trilion (2024) dan RM1.3 trilion pada 2025," jelasnya.
Dalam pada itu, Armizan memaklumkan Jemaah Menteri turut bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Khas Berkaitan Impak Perniagaan Asing Dalam Negara bagi meneliti kesan perniagaan asing termasuk risiko lambakan barangan serta perkhidmatan melalui platform e-dagang.
Jawatankuasa tersebut, katanya juga meneliti isu penyalahgunaan pas imigresen untuk tujuan berniaga dan bekerja di Malaysia.
"Jawatankuasa berkenaan dipengerusikan oleh Kementerian Kewangan dan dianggotai beberapa kementerian serta agensi termasuk KPDN.
"Selain itu, ia dianggotai Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Imigresen Malaysia," tambah Armizan.
Di bawah bidang kuasa kementerian juga, Armizan berkata penelitian sedang dibuat untuk memperkenalkan mekanisme kebertanggungjawaban kepada platform merangkumi kewajipan pematuhan undang-undang Malaysia oleh entiti luar yang menyasarkan pengguna tempatan.
Selain itu, syarat pelantikan wakil tempatan yang sah; pengukuhan akauntabiliti pengendali platform; dan penerapan elemen pemakaian undang-undang luar wilayah.