SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan merampas 22,300 liter diesel dianggarkan berjumlah RM47,945 menerusi serbuan di sekitar Lukut, Port Dickson dekat sini semalam.

Pengarahnya Muhammad Zahir Mazlan berkata turut dirampas dalam serbuan kira-kira pukul 11 pagi itu ialah dua lori, tangki minyak serta pam minyak menjadikan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM98,145.

"Dua lelaki tempatan masing-masing berumur 25 dan 43 tahun turut ditahan kerana disyaki berurusan dengan barang kawalan berjadual tanpa lesen yang sah dan melanggar Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata KPDN negeri turut merampas 25,300 liter diesel selain sebuah treler, lori tangki dan lori bonded, tangki minyak serta peralatan bagi tujuan penyelewengan minyak diesel dengan nilai keseluruhan berjumlah RM93,295 di Seremban pada 10 Sept lepas.

Susulan itu, tiga lelaki tempatan berumur antara 52 hingga 58 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti berkenaan di bawah seksyen sama, katanya.

Muhammad Zahir berkata dua kertas siasatan telah dibuka dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

-- BERNAMA