Skip to main content

Malaysia

KPDN gagalkan cubaan seleweng diesel di stesen minyak di Penampang

51723028798_TBDIESEL.jpg
Hasil operasi turut menahan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an disyaki melakukan aktiviti pengisian diesel melebihi had dibenarkan oleh arahan Pengawal Bekalan. - Gambar fail

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah menggagalkan cubaan menyeleweng minyak diesel bersubsidi dengan nilai rampasan keseluruhan RM12,897.35 dalam serbuan menerusi Ops Tiris 4.0 di Penampang, Jumaat lepas.

Pengarahnya Shahril Nizam Shahidin berkata hasil operasi turut menahan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an disyaki melakukan aktiviti pengisian diesel melebihi had dibenarkan oleh arahan Pengawal Bekalan.

Advertisement

Beliau berkata serbuan dijalankan hasil pemantauan rapi dan risikan berterusan di beberapa stesen minyak di sekitar bandar raya ini sebelum serbuan dijalankan di sebuah stesen minyak di Penampang.

“Suspek yang menggunakan kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu Trooper didapati sedang melakukan aktiviti mencurigakan di satu daripada pam di stesen minyak tersebut.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek sedang mengisi minyak diesel ke dalam tangki tambahan melalui saluran penutup isian minyak kenderaan itu melebihi had dibenarkan, sekali gus disyaki cuba menyeleweng barangan kawalan bersubsidi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahril Nizam berkata pemeriksaan turut menemukan satu tangki IBC berkapasiti 1,000 liter mengandungi kira-kira 250 liter diesel.

Beliau berkata antara barangan disita dalam serbuan itu ialah kenderaan pacuan empat roda itu berserta kunci, resit pembelian, minyak diesel, tangki IBC, pam elektrik serta hos getah.

“Lelaki itu dan pengusaha stesen minyak terlibat akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video