MALAYSIA

KPDN gagalkan cubaan seludup 3,000 liter petrol di Kota Bharu

Bernama 05/11/2025 | 09:39 MYT
Azman berkata pemeriksaan ke atas tiga buah kenderaan yang ditinggalkan suspek, menemukan sejumlah 3,000 liter petrol dengan nilai rampasan dianggarkan RM23,800. - Gambar fail
KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, menggagalkan cubaan menyeludup 3,000 liter petrol dalam satu Operasi Bersepadu Membanteras Penyelewengan Barang Kawalan di Jambatan Sultan Yahya Petra, Kampung Langgar di sini.

Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata operasi yang bermula pada 4.35 pagi tadi, dijalankan bersama Pasukan Polis Marin Wilayah 3 Pengkalan Kubor membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan, manakala dua lagi suspek sempat melarikan diri.

Beliau berkata pemeriksaan ke atas tiga buah kenderaan yang ditinggalkan suspek, menemukan sejumlah 3,000 liter petrol dengan nilai rampasan dianggarkan RM23,800.

"Terdahulu, pihak berkuasa telah mengarahkan kenderaan terbabit supaya berhenti, namun kesemua pemandu berkenaan bertindak memecut laju dan berpatah balik melawan arus bagi mengelak daripada ditahan.

"Salah sebuah kenderaan jenis Proton Wira Aeroback bernombor pendaftaran tempatan berhenti di bahu jalan di atas jejambat Jambatan Sultan Yahya Petra, di sini, sebelum pemandunya melarikan diri meninggalkan kenderaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan 40 tong penuh disyaki berisi minyak petrol, dianggarkan 25 liter setiap tong, menjadikan jumlah keseluruhan 1,000 liter petrol yang dipercayai untuk tujuan penyelewengan.

Azman berkata selain itu, pemeriksaan terhadap sebuah lagi Proton Wira Aeroback turut menemukan 40 tong berisi petrol, dengan anggaran 1,000 liter, manakala kes ketiga melibatkan sebuah Proton Gen-2 yang turut membawa 40 tong berisi petrol dengan jumlah sama.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) kerana memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan," katanya.

-- BERNAMA

#KPDN kelantan #seludup petrol #suspek melarikan diri #Azman Ismail