MALAYSIA
KPDN gempur premis tumpuan warga asing di Jalan Silang
Warga asing yang ditahan oleh anggota Imigresen dibawa menaiki trak dalam operasi bersepadu di Jalan Silang, Kuala Lumpur malam tadi. -- fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Sebanyak 11 premis yang menjadi tumpuan warga asing di Jalan Silang di sini dikenakan kompaun berjumlah RM6,000 kerana melakukan pelbagai kesalahan ketika serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), malam tadi.
Pengarah KPDN Kuala Lumpur Mohd Sabri Seman berkata ia membabitkan kesalahan tidak mempamerkan tanda harga, menggunakan alat timbang dan sukat yang tidak ditentusahkan, serta kesalahan cap dagangan.
Beliau berkata dalam operasi pada 9 malam itu, KPDN turut merampas 125 jam tangan tiruan bernilai RM6,500 di sebuah premis menjual peralatan telekomunikasi di kawasan berkenaan yang dikendalikan warga asing.
"Operasi ini memberi tumpuan kepada premis perniagaan, runcit, dan restoran serta lambakan warga asing susulan aduan dan hasil risikan yang mendapati terdapat premis perniagaan diuruskan warga asing tidak mempamerkan tanda harga," katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan.
Mohd Sabri berkata anggota dan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang turut menyertai operasi menahan 24 pendatang tanpa izin melibatkan warga Bangladesh, Nepal, Indonesia, Pakistan, Myanmar, dan Sri Lanka.
Beliau berkata pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula mengeluarkan 17 notis kompaun dan satu notis penutupan premis dalam operasi itu.
-- BERNAMA