[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

KPDN gesa sektor pengangkutan darat awam, barangan daftar SKPS untuk manfaat subsidi petrol

Bernama 13/09/2025 | 12:15 MYT
Armizan berkata pembelian petrol bersubsidi RON95 oleh syarikat pengangkutan darat awam dan barangan akan dilaksanakan melalui kaedah penggunaan Fleet Card. - Gambar fail/Astro AWANI/Shahir Omar
PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menggesa kenderaan syarikat pengangkutan darat awam dan barangan membuat permohonan pendaftaran menerusi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my bermula 10 pagi pada Isnin ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata permohonan pendaftaran melalui sistem itu amat penting supaya sektor pengangkutan berkenaan mendapat manfaat subsidi petrol RON95, selain membolehkan KPDN mengawal selia mekanisme penyaluran subsidi untuk kenderaan pengangkutan darat awam dan barangan.

Beliau berkata sebanyak sembilan kategori dalam sektor pengangkutan darat awam layak membuat permohonan iaitu teksi, kereta sewa, bas sekolah, van mayat, ambulans, bomba, bas pengantara, bas berhenti-henti dan bas mini.

Beliau berkata bagi sektor pengangkutan darat barangan pula, 12 kategori kenderaan layak memohon iaitu van panel, van window, van semi panel, lori katering makanan, van katering makanan, lori rigid (kargo am), lori rigid (luton/kotak), lori rigid (sejuk beku), lori rigid (perkhidmatan bergerak), van rigid (perkhidmatan bergerak), lori rigid (kandang haiwan) dan lori rigid (hasil pertanian).

"Syarat-syarat kelayakan pendaftaran SKPS ialah syarikat berdaftar di Malaysia, kenderaan adalah milik syarikat pemohon, kenderaan dengan cukai jalan sah dan kenderaan tersenarai dalam kategori layak di bawah SKPS," katanya selepas merasmikan program Sentuhan Kasih Jualan Rahmah MADANI dan Advokasi Kepenggunaan di sini hari ini.

Armizan berkata pembelian petrol bersubsidi RON95 oleh syarikat pengangkutan darat awam dan barangan akan dilaksanakan melalui kaedah penggunaan Fleet Card antara lain bertujuan meningkatkan kecekapan kawal selia pemberian subsidi, mengurangkan risiko ketirisan serta penyeludupan bahan api.

Menurut Armizan, kaedah itu diguna pakai bersandarkan kepada keberkesanan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang dilaksanakan tahun lepas.

Beliau berkata syarikat pengangkutan berjaya mendaftar dalam SKPS perlu segera memohon Fleet Card daripada tiga syarikat minyak pilihan dengan mengemukakan bersama dokumen Surat Kelulusan dan Senarai Kenderaan yang boleh dicetak daripada sistem berkenaan.

"Semua syarikat pengangkutan darat awam dan barangan dinasihati untuk membuat permohonan SKPS dan Fleet Card pada kadar segera kerana kami mahu mereka boleh terus memanfaatkan subsidi ditawarkan serta merta sebaik sahaja tarikh pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 diumumkan kelak.

"Semasa SKDS, jumlah kenderaan terlibat di Semenanjung lebih 300,000, manakala untuk SKPS lebih 100,000 kenderaan bagi kedua-dua sektor. Apa yang paling penting ialah syarikat-syarikat (sektor pengangkutan darat awam dan barangan) jangan bertangguh dan buatlah permohonan segera," katanya.

Armizan turut menggalakkan syarikat-syarikat minyak membangunkan kad digital melalui aplikasi masing-masing sebagai alternatif lain untuk membolehkan kedua-dua sektor terbabit menikmati manfaat subsidi petrol RON95.

Sementara itu, Armizan berkata mekanisme pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 untuk kenderaan persendirian individu akan diumumkan oleh Kementerian Kewangan pada penghujung September ini.

-- BERNAMA




#sejuk beku #RON95 #Kementerian Kewangan #kos sara hidup