MALAYSIA

KPDN gesa syarikat pengangkutan, barangan daftar SKPS

Bernama 21/09/2025 | 05:01 MYT
Setakat 20 September, hanya 164 syarikat melibatkan 249 kenderaan telah melengkapkan pendaftaran SKPS. - Gambar hiasan/Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menggesa syarikat pengangkutan darat awam dan barangan mendaftar menerusi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) bagi menikmati manfaat subsidi petrol RON95.


Ringkasan AI
  • KPDN menggesa syarikat pengangkutan darat awam dan barangan mendaftar melalui Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) untuk menikmati subsidi petrol RON95.
  • Setakat 20 September, hanya 164 syarikat melibatkan 249 kenderaan telah melengkapkan pendaftaran SKPS, berbanding anggaran 100,000 kenderaan yang layak.
  • Permohonan SKPS boleh dibuat secara dalam talian di https://mysubsidi.kpdn.gov.my.


KPDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan jumlah kumulatif permohonan SKPS dari 15 Sept hingga semalam adalah sebanyak 1,790 syarikat melibatkan 5,449 kenderaan daripada sektor pengangkutan darat awam serta pengangkutan darat barangan.

Menurut laporan SKPS, sebanyak 164 syarikat membabitkan 249 kenderaan telah melengkapkan pendaftaran SKPS setakat semalam.

"Jumlah itu terdiri daripada 103 syarikat dengan 106 kenderaan dari sektor pengangkutan darat awam, manakala 61 syarikat dengan 143 kenderaan dari sektor pengangkutan darat barangan," menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, KPDN menganggarkan kira-kira 100,000 kenderaan syarikat pengangkutan darat awam dan barangan di seluruh negara layak mendaftar menerusi SKPS bagi menikmati subsidi petrol RON95.

Permohonan pendaftaran SKPS boleh dibuat secara dalam talian melalui pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my.

-- BERNAMA




#kpdn #subsidi petrol #RON95 #syarikat pengangkutan darat