NATIONAL
KPDN, Jakim kerjasama keluarkan produk Indonesia ada DNA babi di pasaran
Armizan (kiri) ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sini, hari ini. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengeluarkan produk makanan Indonesia yang didapati mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi sekiranya berada di pasaran tempatan.
Ringkasan AI
- KPDN bekerjasama dengan Jakim untuk mengeluarkan produk makanan Indonesia yang mengandungi DNA babi dari pasaran Malaysia, susulan maklumat yang diterima dari badan halal Indonesia.
- Jakim telah mengarahkan pengimport menarik balik produk terbabit, berdasarkan pemantauan bersama BPJPH dan BPOM Indonesia yang mengesahkan kehadiran DNA babi dalam beberapa produk makanan.
- Sebanyak 11 batch daripada sembilan produk makanan didapati mengandungi DNA babi melalui analisis makmal, menyebabkan tindakan segera diambil untuk menyingkirkan produk berkenaan daripada pasaran.
"Sebaik kita dapat maklumat terbabit, kita ada perbincangan dengan Jakim untuk memastikan produk berkenaan dapat dikeluarkan segera dari pasaran kita, jika ada.
"Jadi kita akan bekerjasama dengan Jakim dan agensi agama peringkat negeri, bersandarkan pengumuman dibuat badan halal Indonesia, kita akan ambil tindakan segera," kata menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sini, hari ini.
Jakim sebelum ini mengarahkan pengimport menarik balik produk makanan Indonesia yang didapati mengandungi DNA babi dari pasaran tempatan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Sirajuddin Suhaimee berkata arahan itu susulan pengumuman rasmi oleh Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) dan Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) Republik Indonesia semalam berhubung penarikan balik produk terbabit.
Berdasarkan siaran media rasmi BPJPH, hasil pemantauan bersama dengan BPOM mendapati 11 'batch' daripada sembilan produk makanan dikesan mengandungi DNA babi (porcine) melalui analisis makmal.