KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan bekalan gula menjelang sambutan Aidiladha pada hujung Jun ini mencukupi.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, pihak kementerian telah mengarahkan dua kilang terbesar negara iaitu Central Sugar Refinery Sdn Bhd (CSR) dan MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) mengeluarkan bekalan gula pasir kasar dan halus seperti biasa untuk diagihkan kepada pemborong.

"Kedua-dua kilang itu telah diarahkan untuk keluarkan bekalan gula seperti biasa iaitu masing-masing 24,000 dan 18,000 tan metrik.

"Kita juga keluarkan arahan kawalan pengeluaran iaitu kita boleh periksa berapa banyak gula yang kilang keluarkan dan berapa banyak dihantar kepada pemborong," katanya selepas melakukan lawatan kerja ke sebuah syarikat pemborong gula di sini pada Selasa.

Lawatan itu bertujuan memantau status bekalan gula di Terengganu yang didakwa mengalami kekurangan kritikal sejak akhir Ramadan lepas.

Selain itu, Fuziah berkata, KPDN juga melanjutkan tempoh Op Manis yang sepatutnya tamat semalam kepada 30 Jun bagi memastikan gula mencukupi terutama menjelang tempoh perayaan.

Menurutnya, operasi yang dilaksana di Kelantan dan Terengganu sebelum ini telah diperluas ke seluruh negara berikutan terdapat aduan kes di beberapa negeri lain.

"Op Manis ini juga kita panjangkan (tempoh) untuk pastikan kehadiran gula putih bertapis jernih tak akan meninggalkan kesan kepada pengeluaran gula rakyat sedia ada," katanya.

Fuziah turut menasihatkan pengguna supaya tidak membuat pembelian panik yang boleh menjejaskan rantaian bekalan gula di pasaran.

-- BERNAMA