NATIONAL
KPDN jumpa syarikat minyak Khamis bincang mekanisme pengeluaran 'fleet card' lebih cepat

Datuk Armizan Mohd Ali menjawab pertanyaan pemberita ketika hadir bagi merasmikan Majlis Penutup Program Jelajah Karnival KPDN Zon Tengah dan Festival Pengguna Tahun 2024 Peringkat Zon Timur di Stadium Indera Mulia hari ini. - Foto BERNAMA
IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan bertemu dengan lima syarikat minyak pada Khamis ini bagi mengenal pasti mekanisme pengeluaran 'fleet card' dengan kadar lebih cepat kepada pemohon subsidi di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Ringkasan AI
- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan bertemu lima syarikat minyak untuk mempercepatkan pengeluaran 'fleet card' subsidi di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
- Permohonan 'fleet card' kategori pascabayar mengambil masa kerana pemeriksaan kewangan pemohon, namun usaha akan dilakukan untuk mengurangkannya kepada kurang daripada 14 hari.
- Setakat ini, 248,887 kenderaan pengangkutan awam dan barangan dari 88,029 syarikat telah diluluskan subsidi diesel di bawah SKDS, dan KPDN akan terus mempromosikan program ini melalui Program Hari Terbuka dan acara-acara kerajaan.
Beliau berkata menurut rekod terkini lima syarikat minyak pada 8 Julai lepas, sebanyak 165,897 'fleet card' telah dikeluarkan.
Armizan juga berkata syarikat yang tersenarai di bawah 33 jenis pengangkutan darat awam dan barangan boleh memohon menyertai SKDS melalui Sistem MySubsidi Diesel di bawah kawal selia KPDN dan permohonan lengkap mungkin diluluskan serta-merta.
Beliau berkata setakat hari ini, jumlah keseluruhan kenderaan pengangkutan awam dan barangan yang telah diluluskan subsidi diesel di bawah SKDS ialah 248,887 membabitkan 88,029 syarikat.
Armizan berkata KPDN turut melaksanakan program turun padang untuk mempromosi dan menyediakan ruang kepada syarikat-syarikat untuk mengemukakan sebarang pertanyaan sekali gus membuat permohonan.
"Program berbentuk outreach ini dilaksanakan melalui Program Hari Terbuka di reruai SKDS pada acara-acara anjuran kerajaan seperti Program Jelajah KPDN dan Program MADANI Rakyat.
"Syarikat yang telah mendapat kelulusan SKDS boleh terus memohon 'fleet card' daripada lima syarikat minyak yang telah diintegrasikan di dalam Sistem MySubsidi Diesel," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami