KPDN kaji sekatan kad kredit asing untuk pembelian RON95 bersubsidi

Armizan ketika sesi penggulungan titah Seri Paduka Baginda pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Rakyat hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang mengkaji mekanisme bagi menyekat penggunaan kad kredit asing untuk pembelian petrol RON95 bersubsidi di negara ini, sebagai langkah memastikan subsidi bahan api itu hanya dinikmati oleh rakyat yang benar-benar layak.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kementerian itu juga dalam perancangan mewujudkan peraturan baharu yang melarang pembelian petrol RON95 bersubsidi oleh kenderaan berdaftar asing.
Menurut beliau, peraturan berkenaan akan membolehkan tindakan penguatkuasaan dan undang-undang diambil terhadap pemilik atau pemandu kenderaan bernombor pendaftaran asing yang didapati melanggar larangan tersebut.
“Melalui peraturan baharu ini kelak, larangan serta tindakan undang-undang boleh dikenakan ke atas pemilik atau pemandu kenderaan berpendaftaran asing yang membeli petrol RON95 bersubsidi.
“Peraturan ini disasarkan siap dan berkuat kuasa mulai 1 April 2026,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Armizan berkata Pelan Tindakan Kos Sara Hidup Negara yang baharu dijangka dilancarkan pada suku kedua tahun ini bagi memastikan langkah kerajaan menangani isu kos sara hidup dilaksanakan secara lebih tersasar dan berkesan.
Beliau menjelaskan, usaha menangani kos sara hidup akan digerakkan secara menyeluruh merentasi kementerian dan agensi berkaitan di bawah Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL).
“Di bawah NACCOL, beberapa kluster telah diwujudkan bagi menangani isu kos sara hidup, antaranya kluster makanan, kesihatan, pendidikan, perumahan, pengangkutan, pendapatan dan utiliti.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


