ALOR SETAR: Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah memberi jaminan bekalan gula terkawal dan mencukupi untuk memenuhi keperluan pengguna di negeri itu.

Sehubungan itu, Pengarah KPDN Kedah Affendi Rajini Kanth berkata pengguna tidak perlu panik dengan dakwaan bekalan gula terjejas di Kedah kerana pihak KPDN Kedah sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa berhubung barangan kawalan itu.

"Saya telah menyusun semua kawasan yang didakwa terdapat kekurangan gula termasuk daerah Kuala Muda, Sik, Langkawi dan Kubang Pasu dengan membawa masuk bekalan gula pada harga jualan Rahmah iaitu RM5 untuk setiap 2 kilogram," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Affendi berkata lima tan gula tersedia di premis jualan di sekitar kawasan Gurun dekat Kuala Muda, Sik dan Sungai Petani (Kuala Muda) di bawah Program Jualan Rahmah semalam manakala tiga tan gula lagi yang dijual pada harga Rahmah tersedia hari ini di Kuala Ketil (Baling), Jitra (Kubang Pasu) dan Langkawi.

Beliau berkata pihaknya tidak menerima aduan rasmi mengenai ketiadaan bekalan gula daripada pengguna dari banyak daerah di Kedah dengan hanya terdapat dakwaan melalui media sosial dan melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 sahaja.

"Jadinya daerah seperti Kubang Pasu dan Langkawi bekalan gula mencukupi. Tempat lain (Yan, Pendang, Kulim, Bandar Baharu) disebut hari ini (bekalan gula terjejas) saya baru tahu.

"Sepatutnya perlu buat aduan terus kepada pihak kami (KPDN Kedah), saya akan aturkan jalan penyelesaian.

"Esok saya akan pastikan bekalan gula tersedia dengan jualan Rahmah di kawasan tersebut.

"Saya juga mengingatkan peniaga atau pemborong tidak sorokkan gula dan naikkan harga gula sesuka hati yang tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka di bawah Akta Kawalan Bekalan," katanya.

Affendi berkata aliran masuk bekalan gula ke Kedah sama pada bulan lepas sekali gus tiada isu gula terjejas di negeri itu dan beliau mengesyaki kemungkinan terdapat pembelian panik oleh pengguna di sesetengah kawasan yang membeli gula melebihi penggunaan disebabkan tular isu ketiadaan bekalan itu.

Terdahulu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) Mohamad Yusrizal Yusoff dalam satu sidang media hari ini mendakwa terdapat sembilan daerah di Kedah berlaku masalah kekurangan bekalan gula sejak tiga minggu lalu hingga memberikan kekangan kepada pengguna memperoleh barangan itu.

Mohamad Yusrizal berkata kebanyakan aduan pengguna yang diterima pihaknya mengenai isu itu adalah mereka antaranya dari Yan, Kubang Pasu, Pendang, Kulim, Bandar Baharu dan Kuala Muda dengan mendakwa kawasan Tanjung Dawai (Kuala Muda) paling terjejas apabila ada peniaga terpaksa menutup kedai makan ekoran ketiadaan gula.

-- BERNAMA