KPDN Kedah kesan 1,071 kes, nilai kompaun lebih RM867,000

Muhammad Nizam berkata pihaknya turut melakukan pemeriksaan ke atas 110,252 premis di seluruh negeri sepanjang tempoh berkenaan. - Gambar KPDN
SUNGAI PETANI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah merekodkan 1,071 kes melibatkan pelbagai kesalahan dengan nilai kompaun berjumlah RM867,350 bagi tempoh 1 Jan hingga 21 Dis.
Ringkasan AI
- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah mencatatkan 1,071 kesalahan dengan nilai kompaun RM867,350 bagi tahun ini.
- Pemeriksaan dilakukan ke atas 110,252 premis dan 1,202 stesen minyak, serta 207 pemeriksaan dilakukan dalam OPS Tiris 2025 dengan nilai rampasan keseluruhan RM3.8 juta.
- Sebanyak 1,550 aduan diterima sepanjang tahun ini termasuk isu harga barangan, barang kawalan, dan transaksi dalam talian; 969 syarikat dan 1,227 kenderaan mendaftar menerusi SKPS di Kedah.
"Bagi OPS Tiris 2025 pula, sebanyak 207 pemeriksaan dibuat sejak 1 Jan tahun ini dan 122 tindakan diambil dengan nilai rampasan keseluruhan dianggar berjumlah RM3.8 juta," katanya pada sidang media selepas pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2025 di sini hari ini.
Muhammad Nizam berkata sebanyak 1,550 aduan diterima sepanjang tahun ini membabitkan pelbagai kategori antaranya harga barangan dengan 470 aduan, barang kawalan (236) dan transaksi dalam talian (302).
Sementara itu, beliau berkata sebanyak 969 syarikat dan 1,227 kenderaan telah mendaftar menerusi SKPS di negeri ini, bagi tempoh 15 Sept hingga hari ini.
"Ia termasuklah 604 syarikat dan 662 kenderaan bagi sektor pengangkutan darat (awam), serta 365 syarikat dan 565 kenderaan bagi sektor pengangkutan darat (barangan)," katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Muhammad Nizam berkata sembilan jenis barangan disenaraikan sebagai barang kawalan sepanjang pelaksanaan SHMMP Krismas di Kedah berkuat kuasa hari ini hingga 27 Dis ini.
"Barangan berkenaan adalah daging kambing biri-biri bertulang import, kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk Beijing), lobak merah, tomato, cili merah, lada benggala hijau, bawang merah besar, bawang kuning besar dan ubi kentang import (China)," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


