[LAPOR LANGSUNG] 9 rakyat Malaysia ditahan rejim Israel
MALAYSIA

KPDN Kelantan rampas barangan kawalan bersubsidi lebih RM375,000 sejak 1 Januari

Bernama 08/10/2025 | 13:45 MYT
Azman berkata rampasan secara keseluruhan termasuk kenderaan dan barangan kontraban lain adalah sebanyak RM3.52 juta hasil pelaksanaan pelbagai operasi penguatkuasaan di seluruh negeri. - Gambar KPDN Kelantan
KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merampas pelbagai barangan kawalan bersubsidi bernilai RM375,185, bagi tempoh 1 Jan hingga akhir bulan lepas.

Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata jumlah itu merangkumi barangan kawalan utama di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 seperti petrol, diesel dan minyak masak yang diseleweng untuk tujuan penyeludupan ke negara jiran dan dijual di pasaran gelap.

"Antara sitaan termasuk petrol (75,929.44 liter), diesel (29,483 liter) dan minyak masak peket bersubsidi (38,750 kilogram)," katanya kepada Bernama hari ini.

Azman berkata rampasan secara keseluruhan termasuk kenderaan dan barangan kontraban lain adalah sebanyak RM3.52 juta hasil pelaksanaan pelbagai operasi penguatkuasaan di seluruh negeri dalam tempoh Januari hingga September 2025.

"Dalam tempoh sama, sebanyak 1,086 tindakan kes telah diambil di bawah perundangan KPDN, manakala 197 tangkapan turut dilakukan melibatkan individu tempatan dan warga asing.

"Kejayaan ini hasil pelaksanaan Operasi Bersepadu Membanteras Penyelewengan dan Penyeludupan Barang Kawalan Bersubsidi yang dijalankan secara berterusan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubor (PPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan agensi keselamatan lain," katanya.

Beliau berkata dalam kes terbaharu, pihaknya bersama PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh berjaya merampas 850 kilogram minyak masak peket bersubsidi bernilai lebih RM7,000 hasil penahanan seorang suspek di Tok Bali, Pasir Puteh semalam.

-- BERNAMA



#kpdn #kos sara hidup #Maritim Malaysia #minyak masak peket