MALAYSIA
KPDN kenal pasti 1,561 kes seleweng diesel dalam Op Tiris 3.0

Armizan berkata jumlah itu dikenal pasti hasil 30,634 pemeriksaan yang dijalankan di seluruh negara. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,561 kes melibatkan penyelewengan diesel dikenal pasti melalui Op Tiris 3.0 yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sejak Januari hingga 19 Okt lepas.
Ringkasan AI
- Sebanyak 1,561 kes penyelewengan diesel dikenal pasti melalui Op Tiris 3.0 yang dijalankan oleh KPDN sejak Januari hingga 19 Oktober lepas.
- Pemeriksaan ini melibatkan 30,634 pemeriksaan di seluruh negara dengan rampasan diesel bersubsidi sebanyak 13.8 juta liter bernilai lebih RM31 juta.
- KPDN telah membuka enam kertas siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan terus komited menangani penyelewengan diesel bersubsidi.
"Selain itu, setakat Januari hingga Oktober lepas, KPDN telah membuka enam kertas siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Roy Angau Anak Gingkoi (GPS-Lubok Antu) yang ingin tahu cadangan kementerian untuk mengambil tindakan tegas bagi membanteras penyelewengan diesel bersubsidi di Malaysia terutama di sempadan negara.
Armizan berkata KPDN sentiasa komited menangani penyelewengan bahan api diesel bersubsidi sejajar dengan fokus kerajaan untuk membanteras sebarang bentuk ketirisan subsidi yang sering ditegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berikutan itu, beliau berkata KPDN telah meletakkan ketangkasan penguatkuasaan sebagai antara agenda fokus bagi 2024 dengan strategi utama dilaksanakan meliputi tiga aspek iaitu penguatkuasaan, pengurusan risiko dan partisipasi masa.
"KPDN juga memperkasakan kerjasama dengan agensi penguat kuasa lain yang mempunyai bidang kuasa berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia melalui Op Tiris," katanya.
Menjawab soalan tambahan Roy Angau mengenai kempen kesedaran di rumah panjang dan kawasan sekitar sempadan Malaysia dan Indonesia bagi mendidik penduduk untuk membendung penyeludupan rentas sempadan, Armizan berkata perkara itu akan dibawa dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penstabilan Harga (JPH) di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan.
"Saya akan bawa syor tersebut dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof kerana untuk kita menangani aspek ketirisan ini bukan hanya melibatkan agensi kerajaan tetapi perlu kerjasama pihak berkepentingan dan penyertaan orang awam melalui aduan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami