Skip to main content

Malaysia

KPDN KL kesan kes salah laku peniaga dalam Op Embun

KUALA LUMPUR, 20 Feb -- Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Mohd Sabri Seman (tengah) ketika sidang media selepas membuat tinjauan sempena Sesi Walkabout ke Bazar Ramadan Rahmah (BRR) 2026 di Bazar Ramadan Taman Tasik Permaisuri hari ini.  Turut hadir Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN WPKL Mohd Shahran Mohd Arshad (kiri)  -- fotoBERNAMA (2026)
Sabri berkata operasi berkenaan bermula 2.30 pagi di dua lokasi tumpuan utama iaitu Pasar Borong Kuala Lumpur dan Pasar Pudu. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Kuala Lumpur (KPDN KL) mengesan 26 kes pelbagai kesalahan melibatkan peniaga hasil pemeriksaan mengejut dalam Op Embun, di sini hari ini.

Pengarah KPDN KL Mohd Sabri Seman berkata operasi berkenaan bermula 2.30 pagi di dua lokasi tumpuan utama iaitu Pasar Borong Kuala Lumpur dan Pasar Pudu sempena pelaksanaan Skim Kawalan Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa (HRP) 2026.

Advertisement

Ia melibatkan pemeriksaan terhadap 500 peniaga dan antara kesalahan dikenal pasti ialah kegagalan mempamerkan tanda harga, tidak meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal, serta penggunaan alat timbang dan sukat yang tidak ditentusahkan.

"Operasi hari ini digerakkan 55 pegawai dan anggota penguat kuasa bagi memastikan peniaga mematuhi penetapan harga maksimum yang telah dikuatkuasakan bermula 14 hingga 28 Mac ini.

"Bagi memudahkan urusan, kita turut memanfaatkan sistem iPayment di lapangan, iaitu peniaga yang melakukan kesalahan boleh menjelaskan kompaun secara dalam talian tanpa perlu hadir ke kaunter pejabat KPDN," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai statistik keseluruhan, Mohd Sabri berkata sepanjang tempoh Op Pantau yang bermula 19 Feb lepas, sebanyak 2,179 pemeriksaan telah dilaksanakan merangkumi aspek harga, bekalan, dan jualan murah.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,465 pemeriksaan memfokuskan kepada elemen harga manakala 441 pemeriksaan dijalankan di bazar-bazar Aidilfitri bagi melindungi hak pengguna sepanjang Ramadan.

"Secara keseluruhannya bagi 2026 setakat ini, KPDN KL telah menghasilkan 162 kes dengan nilai rampasan mencecah RM5.4 juta serta tangkapan 11 individu. Sejumlah RM121,000 nilai kompaun juga telah dikenakan setakat ini," katanya.

Mohd Sabri turut mengingatkan para peniaga agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga sewenang-wenangnya memandangkan tempoh SHMMP HRP 2026 ini akan berlangsung selama 15 hari, merangkumi tujuh hari sebelum, satu hari semasa, dan tujuh hari selepas perayaan.

Tahun ini, sebanyak 23 jenis barangan telah disenaraikan sebagai barangan kawalan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berbanding 27 jenis barangan di peringkat nasional.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video