[TERKINI] DUN Sabah Dibubar — PRN Ke-17 Bermula! Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

KPDN Pahang minta syarikat pengangkutan darat awam, barangan segera daftar SKPS

Bernama 06/10/2025 | 15:00 MYT
Jezlily berkata sembilan kategori dalam sektor pengangkutan darat awam layak membuat permohonan ialah teksi, kereta sewa, bas sekolah, van mayat, ambulans, bomba, bas pengantara, bas berhenti-henti dan bas mini. - Gambar fail
KUANTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang meminta syarikat pengangkutan darat awam dan barangan yang layak untuk segera mendaftar Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) bagi menikmati subsidi petrol RON95.

Pengarah KPDN Pahang Jezlily Jamaluddin berkata setakat ini tiada tarikh tutup pendaftaran ditetapkan, dengan pihaknya juga menganjurkan hari terbuka dan sesi libat urus di pejabat KPDN negeri di Wisma Belia di sini dari 9 pagi hingga 1 tengah hari esok, untuk meningkatkan kesedaran serta kefahaman tentang SKPS.

"Semua pihak terlibat disaran hadir untuk mendapatkan maklumat lanjut, membuat semakan kelayakan serta mendapatkan bantuan pendaftaran," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata antara syarat kelayakan menikmati inisiatif itu ialah syarikat berdaftar di Malaysia, kenderaan milik syarikat pemohon, kenderaan mempunyai cukai jalan sah dan tersenarai dalam kategori di bawah SKPS.

"Penyasaran semula subsidi petrol di bawah SKPS akan mengurangkan ketirisan dan penyelewengan di stesen minyak serta mengurangkan risiko kenaikan harga barangan dan caj perkhidmatan kenderaan pengangkutan darat awam yang melampau," katanya.

Jezlily berkata sembilan kategori dalam sektor pengangkutan darat awam layak membuat permohonan ialah teksi, kereta sewa, bas sekolah, van mayat, ambulans, bomba, bas pengantara, bas berhenti-henti dan bas mini.

Manakala 12 kategori kenderaan layak memohon di bawah sektor pengangkutan darat barangan iaitu van panel, van window, van semi panel, lori katering makanan, van katering makanan, lori rigid (kargo am), lori rigid (luton/kotak), lori rigid (sejuk beku), lori rigid (perkhidmatan bergerak), van rigid (perkhidmatan bergerak), lori rigid (kandang haiwan) dan lori rigid (hasil pertanian).

Pendaftaran SKPS boleh dilakukan melalui pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my dan mereka mempunyai pertanyaan boleh hadir ke semua pejabat cawangan KPDN Pahang atau menghubungi 09-5717777 / 09-5717778 dari 8 pagi hingga 5 petang Isnin hingga Jumaat.

-- BERNAMA



#kpdn #kos sara hidup #RON95 #skps