MALAYSIA

KPDN panggil syarikat Ramly Burger dengar penjelasan susulan dakwaan kenaikan harga - Armizan

Shafiqa Azami 03/07/2025 | 05:57 MYT
Armizan menasihati mana-mana syarikat agar berunding dengan KPDN sebelum melaksanakan kenaikan harga, bagi memastikan ia tidak melanggar undang-undang pencatutan. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah memanggil syarikat makanan sejuk beku, Ramly Burger, susulan tular dakwaan mengenai kenaikan harga produk keluaran syarikat itu yang mencetuskan kebimbangan orang ramai.


Ringkasan AI
  • KPDN memanggil syarikat Ramly susulan dakwaan tular kenaikan harga; syarikat telah menangguhkan pelaksanaan kenaikan buat sementara waktu sambil menunggu siasatan lanjut.
  • Syarikat pembekal ais Sim Yang Hok Industries menafikan dakwaan harga blok ais naik kepada RM6 dan telah membuat laporan polis terhadap maklumat palsu tersebut.
  • KPDN menegaskan semua syarikat mesti berunding dan memberikan justifikasi sah sebelum menaikkan harga, bagi mengelak tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP).


Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sesi pertemuan bersama syarikat itu diadakan pada Selasa lalu bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu berkenaan.

“KPDN telah mengeluarkan Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) untuk mendapatkan justifikasi kenaikan harga yang dirancang oleh syarikat tersebut," katanya.

Dalam pada itu beliau memaklumkan syarikat Ramly Burger turut menangguhkan kenaikan harga barang syarikat itu buat sementara waktu.

Beliau berkata demikan dalam sidang media selepas Majlis Apesiasi Rakan Strategik sempena sambutan Hari Penguat Kuasa KPDN ke-53.

Sementara itu isu sebuah syarikat pembekal ais, Sim Yang Hok Industries Sdn Bhd yang tular baru-baru ini kerana didakwa telah menaikkan harga, syarikat itu menafikan dakwaan bahawa harga produknya meningkat daripada RM3.70 kepada RM6, dan menyifatkannya sebagai maklumat palsu.

“Mereka menjelaskan tiada sebarang notis rasmi dikeluarkan dan telah membuat laporan polis berhubung mesej tular tersebut,”

“Setakat ini, kedua-dua syarikat menyatakan bahawa sebarang cadangan kenaikan harga adalah disebabkan kos operasi, dan bukan berpunca daripada pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST),” jelas Armizan.

Armizan turut menasihati mana-mana syarikat agar berunding dengan KPDN sebelum melaksanakan kenaikan harga, bagi memastikan ia tidak melanggar undang-undang pencatutan.





#kpdn #Ramly Burger #Armizan Mohd Ali #enaikan harga produk #SST #kos sara hidup #terkini