Skip to main content

Malaysia

KPDN perkasa kuasa MyCC, pindaan Akta 712 dan 713 lulus di Dewan Rakyat

Armizan Ali, Dewan Rakyat. Kredit: JaPen
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali ketika membentangkan Rang Undangn- Undang (RUU) Suruhanjaya Persaingan (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat hari ini. - Foto JaPen
Advertisement

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Persaingan (Pindaan) 2026 (RUU 712) dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Persaingan (Pindaan) 2026 (RUU 713).

Ia sebagai sebahagian daripada agenda reformasi perundangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memperkukuh ekosistem persaingan sihat di Malaysia.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata, pindaan berkenaan bertujuan memperkasakan kuasa penguatkuasaan dan penyiasatan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bagi membolehkan amalan antipersaingan ditangani dengan lebih berkesan dan efisien.

"Matlamat atau objektif utama undang-undang persaingan adalah untuk memastikan mekanisme pasaran berjalan secara adil dan telus. Itu merupakan objektif utamanya.

"Sekiranya terdapat sebarang tindakan oleh mana-mana pihak atau perusahaan yang didapati melibatkan manipulasi pasaran atau melanggar undang-undang persaingan, tindakan boleh diambil.

"Antara bentuk pelanggaran tersebut ialah pakatan dalam kalangan perusahaan untuk menetapkan harga, mengehadkan pengeluaran, membahagikan pasaran atau melakukan pakatan sulit dalam proses perolehan. Semua ini merupakan amalan yang melanggar undang-undang persaingan," katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Menurut Armizan, secara keseluruhannya RUU 712 melibatkan 34 pindaan, termasuk penambahbaikan terhadap 29 seksyen sedia ada serta pengenalan lima seksyen baharu.

Antara pindaan utama ialah memperkemaskan definisi persatuan perusahaan bagi menghalang penyalahgunaan persatuan sebagai medium untuk menjalankan pakatan kartel atau manipulasi pasaran.

Katanya, pindaan itu akan memastikan persatuan perusahaan lebih memahami batas yang ditetapkan undang-undang serta berfungsi untuk memajukan industri, bukannya memudah cara amalan antipersaingan.

Selain itu, lima seksyen baharu turut diperkenalkan, termasuk memperuntukkan tindakan jenayah terhadap mana-mana perusahaan yang gagal memberi kerjasama atau maklumat kepada MyCC bagi tujuan kajian pasaran di bawah Seksyen 11A.

RUU itu turut memperkenalkan Seksyen 58A yang membolehkan MyCC memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi sekiranya keputusan tertentu diketepikan oleh Tribunal Rayuan Persaingan.

Bagi menyokong pelaksanaan pindaan tersebut, RUU 713 turut dipinda melibatkan 10 seksyen, iaitu penambahbaikan terhadap sembilan seksyen sedia ada dan pengenalan satu seksyen baharu.

Ahli Parlimen Papar itu menambah, selepas diluluskan Dewan Rakyat, kedua-dua RUU berkenaan dijadual dibentangkan di Dewan Negara yang akan bersidang dari 20 Julai hingga 4 Ogos depan.

Must Watch Video

Advertisement