KPDN Pulau Pinang sita alat ganti, aksesori telefon bimbit tiruan

Bernama
Mac 14, 2024 05:15 MYT
KPDN Pulau Pinang merampas 32 telefon bimbit jenama Oppo pelbagai model dan 57 unit aksesori telefon jenama sama dipercayai tiruan bernilai RM15,523 dalam operasi pada pagi Rabu. - Foto KPDN
BUTTERWORTH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menyita 3,902 pelbagai alat ganti telefon bimbit dan aksesori jenama terkenal bernilai RM68,216 dalam serbuan terhadap empat premis di Bandar Perai jaya, di sini semalam.
Pengarah KPDN negeri S Jegan berkata serbuan dilakukan anggota penguat kuasa KPDN bersama wakil pemilik cap dagang selepas menerima aduan berhubung kegiatan jualan barangan tiruan di premis berkenaan.
Beliau berkata dalam serbuan berkenaan, turut ditahan tiga lelaki dan seorang wanita warga tempatan dipercayai penyelia di premis berkenaan.
"Hasil pemeriksaan telah menyita sejumlah 2,938 unit alat ganti telefon bimbit pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM58,896.
"Turut disita 964 unit aksesori bernilai RM9,320 dengan jumlah rampasan keseluruhan diangarkan RM68,216," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jegan berkata siasatan dilakukan mengikut Akta Cap Dagangan 2019.
Beliau turut memberi amaran terhadap mana-mana individu atau syarikat yang berkaitan supaya sentiasa mematuhi perundangan ditetapkan atau berdepan dengan tindakan undang-undang.
-- BERNAMA
#KPDN Pulau Pinang #sita alat ganti telefon bimbit #S Jegan #aksesori jenama terkenal