MALAYSIA

KPDN rancang Bazar Ramadan Rahmah

Bernama 22/02/2023 | 11:51 MYT
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Inisiatif Payung Rahmah dan Cabaran 'Beli dan Menang' RM 1.1juta di KK Super Mart, Terminal Bersepadu Selatan. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bakal mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemain industri bagi merancang penganjuran Bazar Ramadan Rahmah.

Menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata beberapa lokasi strategik sudahpun dikenal pasti dan pihaknya bersama PBT bakal memperkenalkan kadar sewa Rahmah bagi setiap tapak di bazar berkenaan dengan perkembangan itu akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Sementara itu beliau berkata pihaknya bersedia menjadi pemudahcara bagi mana-mana pemain industri yang belum atau sukar mendapatkan permit, ataupun lesen perniagaan.

"Kita terbuka kepada mana-mana peniaga untuk mengetengahkan perkara ini kepada mana-mana wakil kementerian supaya kita dapat bantu mereka selesaikan masalah berkenaan," katanya.

Program ini melibatkan penyertaan tanpa had dalam kalangan warganegara Malaysia dan penduduk tetap di Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas, yang membuat pembelian minimum RM23 di mana-mana 680 premis KK Super Mart, yang memberikan mereka peluang memenangi pelbagai hadiah, yang nilai keseluruhannya berjumlah RM1.1 juta.

-- BERNAMA
#kpdn #Bazar Ramadan Rahmah #Salahuddin Ayub #pbt