[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
MALAYSIA

KPDN saran mangsa penipuan pakej haji buat aduan kepada tribunal

Bernama 19/06/2025 | 08:45 MYT
Fuziah berkata TTPM akan menilai kes yang dilaporkan berdasarkan butiran yang diberikan. - Foto Bernama
JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyarankan individu yang menjadi mangsa penipuan pakej haji agar membuat aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) bagi menuntut pampasan sewajarnya.

Ringkasan AI
  • KPDN menyarankan mangsa penipuan pakej haji membuat aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) yang membolehkan tuntutan sehingga RM50,000, selain laporan polis.
  • Setakat ini tiada aduan rasmi diterima oleh KPDN, dan pihak kementerian menggesa pengguna lebih sedar akan hak mereka serta tidak teragak-agak membuat aduan melalui saluran sah.
  • Kes melibatkan 47 jemaah Malaysia dilaporkan tertipu dengan ejen haji tempatan, dipercayai membabitkan tokoh agamawan; TTPM akan menilai kes berdasarkan bukti dan perkhidmatan sebenar yang diterima.

Timbalan Menterinya Fuziah Salleh berkata laporan atau aduan juga boleh dibuat di cawangan (KPDN) seluruh negara atau secara dalam talian, dan setakat ini pihak kementerian tidak menerima sebarang aduan rasmi berhubung kes berkenaan.
"Mungkin pengguna tidak tahu hak mereka. Melalui TTPM, pengadu boleh membuat tuntutan sehingga RM50,000.
"Mereka ingat buat laporan polis (sahaja) cukup, tetapi mereka juga kita saran agar melaporkannya kepada TTPM," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Kepenguatkuasaan dan Advokasi Penggunaan, di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo dan Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri Mohd Fuzi Hadi Abd Latif.
Fuziah berkata TTPM akan menilai kes yang dilaporkan berdasarkan butiran yang diberikan, termasuk jumlah bayaran yang dibuat, janji yang ditawarkan serta perkhidmatan yang sebenarnya diterima pengguna.
Justeru beliau turut menasihatkan pengguna supaya lebih berhati-hati dan tidak teragak-agak membuat aduan sekiranya berdepan sebarang kes yang menjejaskan hak mereka.
Baru-baru ini media melaporkan 47 jemaah dari Malaysia didakwa menjadi mangsa penipuan ejen haji tempatan yang dipercayai membabitkan seorang agamawan terkenal.
- BERNAMA
#kpdn #Fuziah Salleh #penipuan pakej haji #Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia