NATIONAL
KPDN sasar 15,360 Program Jualan RAHMAH MADANI sepanjang 2025 - KSU
Mohd Sayuthi dalam program Agenda AWANI berkata KPDN menyasarkan sebanyak 15,360 penganjuran Program Jualan RAHMAH MADANI sepanjang tahun 2025. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyasarkan sebanyak 15,360 penganjuran Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) sepanjang tahun 2025.
Ringkasan AI
- Penganjuran Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM): KPDN menyasarkan 15,360 penganjuran PJRM sepanjang tahun 2025, dengan dua kali sebulan di 600 kawasan DUN dan 13 Parlimen di Wilayah Persekutuan.
- Program Servis Ihsan MADANI@PETRONAS AutoExpert (SIM@PAX): KPDN menawarkan diskaun 10-30% untuk minyak pelincir di 96 bengkel PETRONAS AutoExpert dari 15 hingga 29 Mac 2025.
- KPDN mengingatkan semua peniaga untuk mematuhi perundangan berkaitan dan komited terhadap gerakan Berniaga Patuh Kod Etika dan Perundangan (Biz-BERKAT).
Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar berkata ia melibatkan penganjuran dua kali sebulan di 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 13 Parlimen di Wilayah Persekutuan.
“Program Jualan RAHMAH MADANI merupakan satu inisiatif yang popular dan dinanti-nantikan oleh masyarakat, khususnya pada hari-hari penerimaan gaji. Jika PJRM ini dijalankan pada awal bulan mereka kata belum ada kesediaan membeli. Maka, permintaan adalah pada hari gaji.
“Syukur, sambutan begitu baik untuk PJRM ini, pada tahun 2025 kerajaan telah tambah peruntukan daripada RM200 juta kepada RM300 juta. Saya di peringkat kementerian melihat ini sebagai satu tanggungjawab yang besar sebab tambahan RM100 juta ini bukan jumlah yang kecil,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
KPDN sasar 15,360 Program Jualan RAHMAH MADANI sepanjang 2025 - KSU
Dalam pada itu, Mohd Sayuthi memaklumkan bahawa KPDN turut menganjurkan PJRM edisi khas sempena perayaan Aidilfitri yang menawarkan barangan keperluan menyambut Hari Raya.
Selain itu, KPDN turut menawarkan pakej penyelenggaraan kenderaan dan pengurangan harga minyak pelincir jenis mineral dan semi sintetik di 96 buah bengkel PETRONAS AutoExpert di seluruh negara.
“Program Servis Ihsan MADANI@PETRONAS AutoExpert (SIM@PAX) memberi peluang kepada orang ramai untuk dapatkan perkhidmatan servis kenderaan. Kita beri diskaun sama seperti Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) iaitu diskaun antara 10 hingga 30 peratus untuk minyak pelincir yang digunakan,” ujarnya.
Tambah Mohd Sayuthi, SIM@PAX ditawarkan kepada pengguna kenderaan petrol dan diesel dari 15 hingga 29 Mac 2025.
“Keputusan ini dibuat bagi memastikan masyarakat di Sabah dan Sarawak turut terlibat dalam program ini.
“Bagi orang ramai yang ingin mendapatkan tawaran SIM@PAX ini, muat turun aplikasi Setel yang disediakan oleh PETRONAS. Pilih servis kereta, buat pilihan servis dan tempah awal di pusat-pusat servis yang tersenarai,” jelasnya.
Berikutnya, Mohd Sayuthi berkata KPDN mengingatkan semua peniaga agar terus mematuhi segala perundangan berkaitan dan memberikan komitmen terhadap gerakan Berniaga Patuh Kod Etika dan Perundangan (Biz-BERKAT).
Agenda AWANI: Ramadan dan Syawal insiatif Rahmah, nikmat disyukuri