KUALA LUMPUR: Dua buah restoran berkonsepkan Asia Selatan di Jalan Ipoh, dekat sini diserbu dalam operasi membanteras penggunaan barang kawalan tanpa lesen atau permit oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN).

Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, berdasarkan maklumat dan aduan yang diperoleh daripada orang awam, pihaknya telah membuat pemeriksaan ke atas dua premis terbabit pada Jumaat.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dilakukan pihaknya telah menemui 37 kilogram (kg) minyak masak di restoran pertama manakala pemeriksaan di restoran kedua menemukan 39 kg minyak masak.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua premis tersebut tidak mempunyai sebarang lesen atau permit barang kawalan bagi tujuan penyimpanan.

"Kedua-dua premis berkenaan disyaki telah melakukan kesalahan dan kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Pemeriksaan di restoran pertama juga mendapati premis berkenaan gagal mempamerkan tanda harga bagi barangan yang dijual iaitu serbuk teh.

"Kesalahan itu disiasat di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 serta menyita kesemua 76 kg minyak masak dan 24 unit serbuk teh yang dianggarkan berjumlah RM1,100 melibatkan rampasan di kedua-dua premis berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Ariffin berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua premis dimiliki warga Pakistan yang mempunyai kerakyatan Malaysia (permastautin tetap).

Selain itu katanya, pemilik premis telah menetap di negara ini sejak 20 tahun lalu dan berkahwin dengan warga tempatan.

Tambahnya, dua pemilik premis terbabit telah ditahan untuk direkodkan keterangan serta mendapatkan maklumat lanjut bagi tujuan siasatan.

Selain itu, tegas beliau, pihak KPDN Kuala Lumpur akan menyiasat sumber bekalan yang diperolehi melibatkan kedua-dua restoran terbabit.

"KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur memberi amaran keras kepada mana-mana pihak supaya tidak melanggar undang-undang sedia ada atau berhadapan hukuman berat.

"Malah kami juga akan mempertingkatkan pemeriksaan melibatkan restoran-restoran di seluruh ibu kota Kuala Lumpur dari masa ke masa.

"Selain itu, pemilik restoran juga perlu memohon permit barang kawalan bagi tujuan penyimpanan di premis restoran jika melebihi kuantiti yang disyaratkan," ujarnya.

Ariffin berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh membuat aduan dan laporan kepada pihak kementerian menerusi portal e-aduan.kpdn (https://eaduan.kpdn.gov.my) atau menghubungi pusat panggilan di talian 1 800 886 800.

"Aduan juga boleh diemailkan kepada [email protected] atau Ez ADU KPDN menerusi aplikasi telefon pintar, talian di Pusat Arahan Penguatkuasaan (Enforcement Command Centre) 03-8882 6088/6245 atau menerusi aplikasi WhatsApp di talian 019-279 4317," ujarnya. - Sinar Harian