NATIONAL
KPDN serbu rumah disyaki jalankan aktiviti penyelewengan gas LPG bersubsidi
KPDN Pulau Pinang menyerbu sebuah rumah di Kampung Jawa Bayan Lepas kerana disyaki menjalankan aktiviti penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi. - Foto hiasan/KPDN
GEORGE TOWN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menyerbu sebuah rumah di Kampung Jawa Bayan Lepas di sini hari ini, kerana disyaki menjalankan aktiviti penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi.
Pengarah KPDN negeri S. Jegan berkata serbuan bermula pada 2 petang itu dibuat hasil risikan selama tiga minggu susulan maklumat yang diterima daripada orang awam mengenai kegiatan mencurigakan di premis terbabit.
Beliau berkata ketika serbuan, seorang lelaki tempatan berumur lingkungan 40-an sedang memindahkan gas LPG dari tong bersubsidi bersaiz 14 kilogram (kg) ke tong industri bersaiz 50 kg.
"Pemeriksaan lanjut kemudian menemukan sebuah lori yang sarat dengan pelbagai tong gas LPG termasuk yang berisi dan kosong daripada pelbagai jenama manakala pemilik premis pula gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah berkaitan dengan pemilikan dan penyimpanan barang kawalan berjadual, iaitu tong gas LPG.
"Susulan itu, sebanyak 90 tong gas LPG pelbagai jenama termasuk yang berisi dan kosong dengan anggaran 498 kg dirampas selain sebuah lori serta beberapa peralatan yang digunakan untuk memindahkan gas itu berserta dokumen disita, menjadikan aggaran nilai keseluruhan rampasan RM30,546.20," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini hari ini.
Menurut Jegan, lelaki itu disyaki melakukan kegiatan terbabit sendirian, namun siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengenal pasti pihak yang membekalkan gas bersubsidi itu kepadanya.
Beliau berkata berdasarkan siasatan, rumah itu merupakan milik bapa mentuanya dan suspek dipercayai telah menjalankan kegiatan berkenaan secara kecil-kecilan mengikut tempahan sejak enam bulan lepas.
"Kita percaya rumah ini dijadikan lokasi transit pemindahan gas sebelum dihantar kepada pelanggan dipercayai pihak industri di sekitar Pulau Pinang," katanya.
Jegan berkata sejak tiga tahun kebelakangan ini, pihaknya mendapati kebanyakan sindiket kini telah mengubah modus operandi dengan melakukan aktiviti itu dalam skala lebih kecil serta menjadikan premis tertutup, seperti kediaman bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.
Tindakan itu, katanya dibimbangi mengundang risiko keselamatan lebih-lebih lagi proses pemindahan gas itu dilakukan tanpa sebarang prosedur keselamatan ditambah dengan kedudukan rumah yang amat dekat antara satu sama lain.
"Seperti hari ini kita dapat lihat kampit ais diletakkan di atas tong gas bagi menyegerakan proses pemindahan gas dan kita bimbang ia boleh mengundang bahaya. Dalam hal ini, bukan sahaja melibatkan penyelewengan barang bersubsidi, tetapi juga keselamatan nyawa dan kawasan sekitar," katanya.
Sehubungan dengan hal itu, beliau memberi amaran terhadap mana-mana individu atau syarikat berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan atau boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), sekiranya didapati melakukan kesalahan.
-- BERNAMA