MALAYSIA

KPDN tingkat kawalan di ICQS Tebedu

Bernama 24/06/2025 | 06:45 MYT
Fuziah berkata, bermula April tahun ini, KPDN Sarawak telah menjalankan pemeriksaan ke atas kenderaan di ICQS Tebedu. - Gambar fail/Bernama
KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengukuhkan kawalan dan pemantauan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu bagi memantau tahap pematuhan kenderaan perdagangan serta persendirian terhadap perundangan yang dikuatkuasakan.

Ringkasan AI
  • KPDN mempertingkat kawalan di ICQS Tebedu, termasuk penempatan pegawai empat hari seminggu, untuk cegah penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan.
  • Langkah pemantauan turut diperluaskan ke stesen minyak di sempadan, melalui risikan dan pemeriksaan berkala bagi membendung ketirisan.
  • Kerjasama strategik dijalinkan bersama agensi keselamatan sempadan seperti PGA, APMM, dan AKPS dalam memastikan penguatkuasaan lebih berkesan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Dr Fuziah Salleh berkata bermula April tahun ini, KPDN Sarawak telah menjalankan pemeriksaan ke atas kenderaan di ICQS berkenaan.
"KPDN bekerjasama dengan pihak ICQS Tebedu untuk menempatkan pegawai dengan kekerapan sebanyak empat hari seminggu bagi mencegah aktiviti penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Selain itu, Fuziah berkata KPDN juga sentiasa memikirkan strategi untuk membendung ketirisan dan penyelewengan dengan menjalankan risikan dan pemeriksaan berkala ke atas stesen minyak yang berada di sempadan negara.
"Kita juga membuat kerjasama strategik dengan agensi-agensi penguatkuasaan sempadan seperti Pasukan Gerakan Am, Agensi Penguatkuasaan Maritim dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS)," katanya.
-- BERNAMA
#kpdn #Fuziah Salleh #ICQS Tebedu #enyelewengan dan penyeludupan barang kawalan