Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Johor merampas 150 paket Ghost Smoke Cool Fruit Powder di sebuah syarikat pemborong makanan di kawasan Masai, Selasa lalu.

Pengarahnya, Mohd Hairul Anuar Bohro berkata,132 pemeriksaan telah dilakukan ke atas premis-premis terutamanya lokasi berhampiran sekolah.

Berdasarkan maklumat diterima, pelajar mampu peroleh gula-gula Ghost Smoke Cool Fruit Powder pada harga hanya 50 sen seunit.

“Ada juga lokasi di bahagian sekolah, kita cuba cari di mana sumbernya. Akhirnya kami temui 150 peket atau 150 unit di sebuah syarikat pemborong di Masai.

“Dalam satu kotak tu ada 30 peket dan kita berjaya dapatkan lima kotak. Kalau kotak tu dari pemborong ke peruncit, kita dapatlah harga RM7.50, seterusnya peruncit jual kepada pelajar (kanak-kanak) pada harga 50 sen sepeket daripada pemborong kepada peruncit 25 sen,” ujar Mohd Hairul Anuar.

Dalam pada itu, KPDNHEP sedang menyiasat perkara itu kerana wujud keraguan pada kotak bungkusan gula-gula berkenaan ekoran terdapat logo halal di kotak berkenaan.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 5, Akta Perihal Dagangan 2011, dan jika disabit kesalahan, peniaga terbabit boleh didenda tidak melebihi RM250,000 bagi satu pertubuhan perbadanan.

Sebaliknya, bagi peniaga bukan pertubuhan perbadanan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya.

Gula-gula itu mula tular dalam kalangan pengguna media sosial, khususnya ibu bapa yang khuatir dengan soal keselamatan gula-gula itu yang menghasilkan kesan asap seumpama menghidap vape apabila ia dimakan.

Mohd Hairul juga meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang aduan di Whatsapp KPDNHEP atau di talian 019-279 4317.