Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan terus memantau 800 pusat jualan di seluruh negeri Sarawak dalam memastikan bekalan makanan mencukupi.

Pemantauan dilakukan bersempena dua perayaan besar di negeri tersebut yang akan disambut tidak lama lagi iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kecil Rantaian Bekalan Makanan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, pusat-pusat jualan terbabit akan dipantau bagi memastikan tiada aktiviti sorok barang dan kenaikan harga berlaku terutamanya pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

“Mana-mana barang yang didapati berkurangan akan ditempah. Misalnya seperti gula yang banyak mendapat tempahan di daerah Lawas yang sampai pada ketika ini adalah disebabkan tempahan yang telah dibuat lebih awal,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak turut menggesa pembekal bahan binaan untuk meningkatkan kapasiti produk bagi menampung keperluan projek pembinaan yang sedang berlangsung.

Jelasnya, hal ini adalah susulan daripada sektor pembinaan yang telah dibenarkan beroperasi di negeri itu.

“Saya telah meminta supaya mereka menempah simen kerana saya percaya selepas Hari Raya, sektor pembinaan akan bergerak dengan cepat.

“Jadi perlu untuk kita memastikan kuota bahan pembinaan memadai kerana tidak mahu projek pembinaan terjejas,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa melawat pemborong barangan makanan dan pembekal simen di Lawas pada Sabtu.

Untuk rekod, sejak 1 Januari sehingga 13 Mei 2020, KPDNHEP Limbang telah melaksanakan pemeriksaan pada 2,285 premis perniagaan meliputi kawasan bandar dan luar bandar dan telah melakukan rampasan barangan bernilai RM1 juta disebabkan ketidakpatuhan arahan penjualan.