KUALA LUMPUR: Sejumlah RM2.413 juta nilai rampasan direkodkan dalam operasi bersepadu berkaitan minyak masak yang dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sejak 1 Julai lepas hingga semalam.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Azman Adam berkata sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 126 kes melibatkan pelbagai kesalahan berkaitan minyak masak telah diterima oleh pihaknya di seluruh negara.

"Kesalahan yang dilakukan termasuk penyelewengan minyak masak paket yang dijual semula dalam botol dan pembekalan minyak masak kepada pihak tidak berkelayakan dan tidak berlesen.

"Selain itu, terdapat peniaga yang didapati menyorok atau mengalihkan dan menyimpan bekalan barangan tersebut di tempat yang tidak berlesen," katanya kepada pemberita selepas memeriksa sebuah pasar raya di Batu Caves hari ini.

Beliau juga berkata sejak penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi pada Jun lepas, sebanyak 16,562 premis diperiksa menerusi operasi khusus di bawah Operasi Ayam Telur Minyak Masak (Ops ATM) manakala penaziran turut dilakukan ke atas 729 premis pembungkusan semula, pemborong dan peruncit.

Azman pula berkata setakat ini, sebanyak 32 peratus premis perniagaan mula menjual minyak masak botol di bawah harga yang ditetapkan berbanding 17 peratus pada 8 Ogos lepas.

"Ini adalah satu langkah baik yang dilaksanakan oleh para peniaga iaitu mereka menjual barangan tersebut di bawah harga yang ditetapkan manakala selebihnya mengikut harga yang telah ditetapkan oleh kerajaan," katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa dilapor berkata minyak masak sawit dalam botol lima kilogram akan dijual pada harga RM34.70 bermula 8 Ogos.

-- BERNAMA