Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Sembilan mengesan 21 kes sepanjang penguatkuasaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan bersempena Aidilfitri selama dua minggu sehingga 8 Jun lalu.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNKK negeri Zubir Hamsa berkata kes dikesan hasil pemeriksaan ke atas 815 premis perniagaan dan melibatkan antaranya Perintah 2 (1) Perintah Kawalan Harga Antipencatutan Penandaan Harga Barang Terkawal iaitu gagal menggunakan tanda harga merah jambu pada barangan harga terkawal.

"Kesalahan lain termasuk menjual lebih daripada harga maksimum. Sejumlah RM6,500 kompaun telah diterima atas kesalahan tersebut manakala jumlah nilai rampasan pula sebanyak RM936.90.

"Semua kesalahan ini dilakukan peniaga runcit sepanjang aktiviti penguatkuasaan dijalankan," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata pihaknya juga akan menjalankan tindakan berterusan bagi melindungi pengguna daripada kegiatan pengambilan untung berlebihan .

Sehubungan itu beliau menasihati peniaga agar mematuhi segala peraturan dan undang-undang walaupun bukan dalam tempoh perayaan.

-- BERNAMA