PUTRAJAYA: Kerajaan akan memastikan sektor peladangan dan komoditi tidak akan terjejas dengan peraturan-peraturan yang sudah dan bakal diperkenalkan di peringkat global, khususnya penyahhutanan Kesatuan Eropah (EU), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau, yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, antara peraturan tersebut ialah larangan membuka ladang baharu untuk penanaman komoditi seperti kelapa sawit, koko, kopi dan getah, selain aktiviti Orang Asli yang bercucuk tanam secara berpindah-randah.

Fadillah berkata, sebagai negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Malaysia akan berpandukan kepada prinsip alam sekitar, sosial, dan urustadbir (ESG), khususnya dalam pembasmian kemiskinan.

“Sebab pada kita, asas dalam sektor agrikomoditi ialah, kita berpegang kepada UNSDG.  Artikel pertama dalam UNSDG ialah pembasmian kemiskinan.

“Bagi kita, (antara) usaha kita dalam membasmi kemiskinan adalah melalui sektor peladangan dan agrikomoditi, seperti pembukaan tanah untuk aktiviti bercucuk tanam dan sebagainya, seperti mana kita wujudkan tanah rancangan FELDA dahulu,” katanya lagi.

Fadillah berkata, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan memastikan pekebun-pekebun kecil tidak akan tersisih daripada rantaian bekalan produk agrikomoditi.

Tambahnya lagi, kos untuk mematuhi peraturan tersebut merupakan cabaran buat golongan tersebut, berbanding syarikat-syarikat peladangan dan pertanian yang mempunyai kemampuan kewangan yang besar.

Fadillah berkata, Kerajaan akan memastikan seperti pekebun-pekebun kecil tidak akan tersisih atau terkeluar daripada rantaian bekalan produk agrikomoditi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Agrikomoditi Negara (HAKN) 2023, bertemakan Memacu Kemampanan Agrikomoditi Negara di Putrajaya, pada Selasa.

HAKN 2023 merupakan inisiatif KPK selaras dengan Ekonomi MADANI, dalam meneruskan aspirasi kemakmuran ekonomi, dan kesejahteraan rakyat, melalui aktiviti pembangunan produk berkaitan sektor agrikomoditi agar kekal progresif, mampan, berdaya saing dan inklusif.

Terdahulu dalam ucapannya, Fadillah berkata, dengan peraturan baharu tersebut, di samping prestasi ekonomi global 2024 yang dijangka menguncup sebanyak 3 peratus, persekitaran akan menjadi lebih mencabar, ditambah pula dengan persaingan lebih aktif dan agresif dalam pasaran produk.

Fadillah berkata, kerajaan akan memastikan seperti pekebun-pekebun kecil tidak akan tersisih atau terkeluar daripada rantaian bekalan produk agrikomoditi.

“Kemampanan ini menjadi asas kepada apa saja kita laksanakan, bagaimana nak tambah baik produktiviti kita, kerana kebergantungan kepada tenaga kerja dari luar memang jadi cabaran.

“Kita tak boleh bergantung (sepenuhnya) dengan tenaga diimport, kerana Indonesia juga semakin berkembang ekonominya, jadi untuk dapat pekerja yang mahir juga jadi satu cabaran kepada kita.

“Sebab itu kita perlu beralih kepada teknologi, automasi dan sebagainya. Ini merupakan peranan lembaga dan agensi kita, untuk beri tumpuan bagaimana nak tingkatkan penyelidikan, dengan industri dan ahli akademik, serta menghasilkan segala automasi dan mekanisasi untuk kita tingkatkan, permudahkan proses penghasilan dan pemasaran produk,” katanya lagi,

Dalam majlis tersebut, Fadillah turut menyampaikan Anugerah Agrikomoditi Negara kepada enam sektor, merangkumi sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada dan kenaf.

Selain penyampaian anugerah dalam sektor tersebut, beliau turut menyampaikan anugerah Tokoh Industri Perkayuan dan Perhutanan kepada Datuk Freezailah Che Yeom, tokoh yang mempunyai pengalaman selama 60 tahun dalam industri, serta aktif memperjuangkan agenda perhutanan mampan.