MALAYSIA

KPKM nilai cadangan KADA perkenal jenama beras keluaran Kelantan

Bernama 24/08/2025 | 09:45 MYT
Khalid berkata pihaknya turut mencadangkan supaya lima musim penanaman padi dilaksanakan dalam tempoh dua tahun di Kelantan. - Foto Bernama
KOTA BHARU: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang menilai untung rugi cadangan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), untuk memperkenalkan jenama sendiri bagi beras keluaran Kelantan.


Ringkasan AI
  • KADA mencadangkan untuk memperkenalkan jenama beras sendiri bagi hasil keluaran negeri Kelantan.
  • KPKM sedang menilai untung rugi cadangan ini, namun perbincangan dilaporkan berjalan ke arah positif.
  • ujuannya ialah untuk meningkatkan kebanggaan rakyat terhadap hasil pertanian tempatan dan memperkukuh identiti produk negeri.


Pengerusi KADA, Khalid Abdul Samad berkata cadangan itu telah dikemukakan kepada pihak kementerian dan kini dalam proses perbincangan sebelum sebarang keputusan dibuat.

"KPKM sedang menilai sekiranya beras keluaran KADA dipasarkan dengan jenama sendiri. Apa yang penting bagi kami ialah menunjukkan bahawa hasil pertanian negeri ini di bawah seliaan KADA mampu memberi pulangan yang membanggakan rakyat.

"Secara umumnya perbincangan berjalan ke arah positif untuk kita mengeluarkan jenama beras sendiri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan Peringkat KADA di Ibu Pejabat KADA, Lundang, di sini hari ini.

Pada 27 April, KADA mempertimbangkan usaha untuk memperkenalkan jenama sendiri bagi beras keluaran Kelantan.

Sementara itu, Khalid berkata pihaknya turut mencadangkan supaya lima musim penanaman padi dilaksanakan dalam tempoh dua tahun di Kelantan.

Beliau berkata cadangan itu merupakan matlamat jangka panjang, namun buat masa ini KADA menumpukan kepada memastikan penanaman padi dua musim setahun dapat dijalankan dengan baik terlebih dahulu.

"Fokus utama kami ialah memaksimumkan kemampuan sedia ada, termasuk peralatan dan infrastruktur, bagi mengatasi masalah kemarau dan banjir.

"Infrastruktur KADA masih mempunyai banyak kekurangan dan kami dalam proses menambah baik aspek ini, kerana ia penting untuk merancang pembangunan pertanian di Kelantan," katanya.

-- BERNAMA




#Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan #jenama beras keluaran Kelantan #KADA #Khalid Abdul Samad