PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan melaksanakan kajian menyeluruh bagi menilai kesan kelewatan pembekalan baja terhadap pengeluaran padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) selepas aktiviti penuaian selesai pada November ini.
KPKM berkata penilaian itu penting bagi mendapatkan gambaran lebih lengkap dan tepat mengenai prestasi pengeluaran padi bagi Musim 1/2026 dengan mengambil kira data hasil sebenar.
Menurut kementerian itu, analisis awal yang melibatkan 21 peratus sampel Tinjauan Pemotongan Padi MADA menganggarkan purata hasil kasar padi bagi musim berkenaan adalah sebanyak 5.69 tan sehektar, berbanding 4.60 tan sehektar pada Musim 1/2025.
"Dapatan awal ini menunjukkan peningkatan purata hasil kasar di peringkat MADA dan setakat ini tidak menunjukkan kemerosotan hasil secara keseluruhan.
"Namun, KPKM menegaskan bahawa angka tersebut masih bersifat awal dan tidak boleh dianggap sebagai kesimpulan muktamad mengenai kesan kelewatan pembekalan baja terhadap pesawah secara individu," kata KPKM dalam satu kenyataan.
KPKM dalam masa sama memaklumkan bahawa kebajikan pesawah sentiasa menjadi keutamaan kerajaan, termasuk dalam menangani isu kelewatan pembekalan baja serta kesan kemarau yang melanda kawasan penanaman padi.
Menurut kementerian itu, bantuan kewangan melalui Skim Takaful Tanaman Padi berjumlah RM1.99 juta telah disalurkan secara berperingkat kepada pesawah berdaftar di kawasan MADA dari Jun hingga Oktober manakala bantuan berjumlah RM5.13 juta bagi pesawah di luar kawasan MADA akan disalurkan secara berfasa bermula Jumaat ini.
KPKM berpandangan bahawa sebarang rumusan dan tindakan susulan terhadap isu kelewatan pembekalan baja harus dibuat secara objektif, berasaskan bukti serta mengambil kira kepentingan pesawah dan kelangsungan pengeluaran padi negara.
"Kementerian akan terus memantau perkembangan di lapangan dan memastikan kebajikan pesawah diberi perhatian sewajarnya, seiring dengan tanggungjawab memelihara kestabilan bekalan beras serta keterjaminan makanan negara," menurut kenyataan itu.
Media sebelum ini melaporkan kira-kira 38,000 pesawah dengan tanaman padi seluas 78,117 hektar di kawasan MADA terjejas akibat kelewatan pengagihan Baja Sebatian Tambahan atau Baja Padi 3.
Pada 7 Sept lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan kertas siasatan dibuka berhubung kelewatan pembekalan baja oleh pihak pembekal yang dilantik KPKM.
Seorang pengarah dan pengarah urusan syarikat pembekal baja kemudian didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar atas pertuduhan berkaitan pemalsuan dokumen bagi permohonan tender pembekalan baja kepada MADA.
-- BERNAMA