MALAYSIA

KPKM perkasa strategi tingkat keterjaminan makanan negara di bawah RMK13

Bernama 01/08/2025 | 11:30 MYT
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) komited memperkukuh usaha memastikan keterjaminan makanan negara menerusi pelaksanaan strategi berfokus di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13). - Foto hiasan
PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) komited memperkukuh usaha memastikan keterjaminan makanan negara menerusi pelaksanaan strategi berfokus di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Dalam kenyataan hari ini, KPKM memaklumkan pelaksanaan inisiatif di bawah Tonggak A, RMK13 iaitu Meningkatkan Kerencaman Ekonomi, akan digerakkan secara menyeluruh bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import dan menjamin daya tahan sistem makanan negara.

Strategi tersebut meliputi tiga teras utama iaitu mempertingkatkan pengeluaran makanan, memantapkan keterjaminan bekalan makanan dan memperkukuh rantaian bekalan makanan.

"Pengeluaran agromakanan berskala besar termasuk penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun, penambahbaikan sistem pengairan dan saliran, penghasilan varieti tanaman dan baka berkualiti serta penggunaan teknologi termaju dalam meningkatkan industri perikanan tangkapan dan akuakultur menjadi iltizam KPKM dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Kesemua usaha dan strategi ini dijangka dapat menyumbang kepada pertumbuhan sektor pertanian sebanyak 1.5 peratus setahun dalam tempoh tersebut," menurut kenyataan itu.

Selari dengan Dasar Agromakanan Negara 2021 - 2030 (DAN 2.0), menurut KPKM, RMK13 juga telah menetapkan sasaran terpilih Kadar Sara Diri (SSR) dan pertumbuhan sumbangan nilai ditambah sektor agromakanan untuk mengukuhkan keterjaminan makanan.

Antara sasaran SSR ialah buah-buahan pada kadar 83 peratus, sayur-sayuran (79 peratus), daging lembu atau kerbau (50 peratus), daging ayam atau itik (140 peratus), telur ayam atau itik (123 peratus), perikanan (98 peratus) dan beras (80 peratus).

Menurut kenyataan itu, pelaksanaan RMK13 adalah selari dengan anjakan perubahan yang dihasratkan oleh kementerian iaitu pemupukan minda baharu yang tidak hanya tertumpu kepada golongan sasar malah turut melibatkan golongan mentadbir urus dan pendekatan pemodenan yang menyeluruh merentasi sektor pertanian.

"KPKM yakin gemblengan usaha semua pihak pastinya akan terus memperkukuh keterjaminan makanan negara selaras dengan matlamat DAN 2.0 dan RMK13 menuju tahun 2030," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


#Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan #KPKM #RMK13 #Rancangan Malaysia Ke-13