NATIONAL
KPKT buat laporan polis, MCMC berhubung penyebaran berita palsu MyKiosk

Projek MyKiosk bertujuan membantu golongan B40 dan PMKS dengan ruang niaga mampu sewa. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membuat laporan polis serta kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) susulan penyebaran beberapa berita palsu mengenai projek MyKiosk.
Ringkasan AI
- KPKT akan membuat laporan polis dan kepada MCMC terhadap penyebaran berita palsu mengenai projek MyKiosk. Menteri Nga Kor Ming menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap penyebar maklumat palsu.
- Projek MyKiosk dilaksanakan secara telus oleh PBT, bukan oleh kementerian secara langsung. Kos RM25,000 adalah harga siling, dan gerai MyKiosk 2.0 dilengkapi pelbagai kemudahan moden seperti panel suria, kipas, dan penebat haba.
- Projek MyKiosk bertujuan membantu golongan B40 dan PMKS dengan ruang niaga mampu sewa. KPKT juga melancarkan Anugerah Kecemerlangan Menteri (AKM) dan AKeMedia 2025 dengan hadiah wang tunai dan peluang ke luar negara.
"Kakitangan kementerian sedang giat mengumpulkan segala video yang menyebar berita palsu. Jika kamu mahu sebar berita palsu, silakan sebab kita pun akan ambil tindakan tegas," katanya kepada pemberita selepas Majlis Prapelancaran Anugerah Kecemerlangan Menteri (AKM) dan Anugerah Kecemerlangan Media (AKeMedia) 2025, di sini hari ini.
Beliau berkata tender bagi projek MyKiosk@KPKT dibuat secara telus dan semua 795 kontraktor terlibat dalam pemasangan dilantik oleh 156 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.
"Kementerian hanya menyediakan peruntukan dan PBT akan menguruskan aspek lain seperti pemilihan kontraktor, lokasi dan peniaga," katanya.
Mengenai dakwaan kos model MyKiosk yang tinggi, Nga berkata ia wajar kerana gerai MyKiosk 2.0 telah ditambah baik dan dilengkapi dengan beberapa kemudahan antaranya panel suria dan bateri tahan lama, lampu LED, lampu LED latar, papan tanda LED, bateri mudah alih, rak mudah laras, kipas, tingkap hidraulik dan penebat haba bumbung.
"Lagi satu, mengenai kos RM25,000 untuk satu gerai MyKiosk 2.0, itu adalah harga siling yang KPKT tetapkan. Jadi kontraktor perlu menawarkan harga lebih rendah daripada ditetapkan kementerian," katanya.
Beliau berkata statistik terkini menunjukkan jumlah pengisian MyKiosk 1.0 adalah 87.74 peratus atau 2,798 unit telah disewa manakala MyKiosk 2.0 pula, pengisian peniaga adalah 65.44 peratus atau 2,653 unit telah disewa.
Projek MyKiosk@KPKT merupakan inisiatif kementerian untuk membantu golongan B40 dan peniaga perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan menyediakan ruang niaga yang seragam, selamat dan selesa.
Projek itu bertujuan meningkatkan pendapatan dan taraf sosioekonomi penduduk setempat melalui penyediaan kios perniagaan dengan kadar sewaan yang rendah.
Sementara itu mengenai AKM, Nga berkata penyertaan terbuka kepada warga KPKT dan PBT menyaksikan pemenang menerima wang tunai hingga RM20,000, sijil penghargaan dan trofi, manakala bagi kategori terpilih pula pemenang berpeluang mengikuti kursus jangka pendek di Harvard University serta Melbourne Business School.
AKeMedia 2025 pula terbuka kepada semua pengamal media tempatan yang menghantar pencalonan bagi karya terbitan 1 Sep 2024 hingga 31 Ogos 2025, dan semua pemenang akan menerima trofi serta hadiah wang tunai RM3,000.
Penyertaan bagi kedua-dua anugerah itu dibuka hari ini hingga 16 Sept depan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami