KUALA LUMPUR:Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diminta melaksanakan semula projek perumahan di bawah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) yang telah dibatalkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika mengambil alih kerajaan dua tahun yang lalu.

Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin berkata, perkara itu menjadi keperluan dan permintaan untuk perumahan di kawasan Kimanis adalah terlalu tinggi.

"Saya telah membangkitkan semula di Dewan Rakyat hari ini bahawa selepas Kerajaan PH mengambil alih Kerajaan Pusat, projek tersebut telah dibatalkan begitu sahaja dan (saya) mahu tahu apakah sebab-sebab pembatalan projek berkenaan.

"Oleh itu, saya berharap KPKT akan melaksanakan semula projek tersebut yang memboleh sekurang-kurangnya 1,000 penduduk di kawasan Kimanis dan mengurangkan masalah kemudahan perumahan yang dihadapi penduduk Kimanis," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, apabila Kerajaan Barisan Nasional (BN) mengumumkan projek tersebut sebelum ini, langkah itu telah disambut dengan baik.

"Bagaimanapun ramai penduduk Kimanis agar kecewa apabila ia dibatalkan semasa Kerajaan PH.

"Selain membangkitkan isu ini beberapa kali di Parlimen, saya juga ada menyediakan segala dokumen yang diperlukan oleh pihak Kementerian dengan harapan projek itu akan dilaksanakan semula," ujarnya.