MALAYSIA
KPKT galak pemaju swasta serah tanah bangun PRR - Nga

Nga berkata jika terdapat pemaju yang berminat menyerahkan tanah, kajian akan dilakukan bagi memastikan kesesuaian untuk dibina PRR. - Foto Bernama
TELUK INTAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menggalakkan pemaju perumahan swasta menyerahkan tanah kepada kerajaan untuk dibangunkan Program Residensi Rakyat (PRR) bermula tahun ini.
Ringkasan AI
- Pemaju perumahan swasta digalakkan menyerahkan tanah kepada kerajaan bagi membangunkan Program Residensi Rakyat (PRR) secara bersepadu dengan pelbagai kemudahan.
- Projek bernilai RM150 juta akan dilancarkan hujung tahun ini, dengan unit luar bandar berharga RM60,000 dan projek bandar ditawarkan melalui sewaan sahaja.
- Semua unit Fasa 1A-1 habis ditempah dalam dua minggu; projek bernilai RM103 juta dijangka siap pada suku ketiga 2028.
"Pasukan teknikal akan kaji sama ada tanah itu, lokasi itu sesuai atau tidak. Jika sesuai, kita akan bawa projek ke tapak tersebut untuk kita bina PRR," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Projek dan Galeri Jualan Bandar PR1MA Teluk Intan di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Anggota Perbadanan PR1MA Datuk Seri Mohd Nazri Md Shariff.
Beliau berkata sebelum ini pihaknya telah menerima 32 tapak tanah secara percuma melalui kerjasama peringkat negeri.
"Dulu kementerian kena bagi peruntukan beli tanah, bayar premium, lepas itu tak ada duit untuk bina rumah yang berkualiti (namun), dasar baru kita galakkan formula menang-menang," katanya.
Beliau berkata KPKT juga menetapkan semua projek PRR mulai tahun ini dilaksanakan dengan konsep pembangunan bersepadu berserta pelbagai kemudahan yang diperlukan oleh rakyat.
Sementara itu, Nga berkata PRR pertama di Perak akan dilaksanakan di Tambun dengan peruntukan kira-kira RM150 juta yang akan dilancarkan hujung tahun ini.
Beliau berkata PRR itu akan dibangunkan dengan pelbagai reka bentuk menarik terdiri daripada Central Park yang akan diumum oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen kawasan itu.
"Kita sasar nak lancarkan PRR pertama Perak di Tambun akhir tahun ini dan Teluk Intan, satu demi satu, langkah demi langkah.
"Harga PRR itu bernilai RM60,000 untuk sebuah unit yang terletak di luar bandar manakala mana-mana projek di dalam bandar akan dikenakan sewaan sahaja," katanya.
Terdahulu, projek kediaman Bandar PR1MA Teluk Intan menerima sambutan memberangsangkan apabila semua unit kediaman Fasa 1A-1 habis ditempah dalam tempoh dua minggu pemilihan unit dilakukan.
Projek itu merupakan kediaman bandar bersepadu pertama PR1MA dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM103 juta.
Bandar PR1MA Teluk Intan Fasa 1A-1 yang terdiri daripada 86 unit teres setingkat akan dibangunkan di kawasan seluas 15 hektar dan dijangka siap pada suku ketiga 2028.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami