KPKT hormat kebebasan media, hargai peranan penting sampaikan maklumat tepat

KPKT menyatakan, kefahaman bersama juga adalah kaedah kebersamaan demi mencapai objektif program serta dasar kerajaan. - Bernama
PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menegaskan komitmennya untuk sentiasa menghormati kebebasan media serta menghargai peranan penting pengamal media dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih kepada rakyat.
Menerusi satu kenyataan hari ini, KPKT memaklumkan bahawa kementerian itu menghargai sumbangan media tempatan dan antarabangsa melalui liputan yang diberikan, serta menghormati kebebasan wartawan untuk mengemukakan pertanyaan sepanjang sidang media tersebut.
"Namun begitu, KPKT ingin menjelaskan bahawa pihak yang menjawab soalan juga wajar mempunyai ruang untuk memberi respons kepada setiap persoalan yang diajukan.
"Selain itu, teguran secara berhemah bagi memastikan ketepatan fakta dan kefahaman bersama juga adalah kaedah kebersamaan demi mencapai objektif program serta dasar kerajaan," menurut kenyataan KPKT.
Kenyataan KPKT memaklumkan bahawa sidang media yang diadakan bagi pelancaran Projek Inovasi Pencahayaan ke Arah Kelestarian Bandar Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 atau I LITE U antaranya bertujuan memperkukuh usaha promosi pelancongan negara, selain menarik perhatian pelancong antarabangsa terhadap keunikan dan daya tarikan ikonik khususnya di ibu negara.
"Sebagai tanda komitmen dalam menjunjung martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, keseluruhan sidang media oleh Nga dijalankan dalam Bahasa Melayu, termasuk ucapan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur (Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif).
Pada 29 Okt, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Meng dilapor telah mengugut seorang wartawan selepas dia bertanya mengenai penggunaan bahasa Inggeris bagi tema pelancongan I LITE U yang diadakan sempena TMM 2026.
Susulan itu, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm) semalam mengeluarkan kenyataan mengecam tindakan menteri berkenaan.
Hari ini Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fazil berkata wartawan berhak mengemukakan apa jua soalan dalam menjalankan tugas mereka selaras dengan prinsip keterbukaan dan saling menghormati antara media dan kerajaan, selain memaklumkan bahawa perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


